Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MMA: Menteri mesti jelaskan kenapa M'sia belum tandatangan Covax
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) memiliki tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa negara ini masih belum menandatangani pelan peruntukan vaksin Covid-19 (Covax), kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), N Ganabaskaran.

"Malaysia bukan antara 172 negara yang mendaftar dan hari ini (18 Sept) adalah tarikh akhir.

"MMA percaya walaupun Malaysia mempunyai rundingan dua hala untuk vaksin, mendaftar untuk pelan Covax merupakan pilihan tambahan yang akan menjamin akses kepada vaksin untuk Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MMA mendesak agar KKM bersikap telus dalam rancangannya untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

"Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui dan kerajaan memiliki kewajiban untuk memaklumkan negara ini," tambahnya.

Semalam ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan bahawa lebih 170 negara telah menyertai rancangannya untuk mengedarkan vaksin di seluruh dunia.

Tedros berkata, lebih daripada 170 negara yang telah menyertai pelan tersebut "mendapat jaminan kepada akses portfolio bakal vaksin terbesar di dunia."

WHO sebelum ini mengatakan 92 negara berpendapatan rendah meminta bantuan melalui skim itu dan sekitar 80 negara berpendapatan tinggi telah menyatakan minat, tetapi ada negara yang masih harus mengesahkan hasrat mereka sebelum tarikh akhir.

Semalam ketika ditanya apakah Malaysia komited untuk menyertai Covax sebelum tarikh akhir, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberitahu laman web CodeBlue: "Kami masih berkomunikasi dengan WHO." 

Justeru Ganabaskaran meminta penjelasan lebih lanjut dan telus mengenai perkara itu.

"Menteri Kesihatan mesti memberi respons sekarang atau dia mungkin harus menjawabnya kepada rakyat kemudian mengapa Malaysia berada dalam barisan terakhir untuk mendapatkan vaksin.

"Walaupun KKM memerlukan lebih banyak waktu, untuk memutuskan selepas tarikh akhir rancangan vaksinasi Covax, maka rakyat harus tahu," katanya.

Ganabaskaran mengakui terdapat masalah keselamatan berhubung perkara itu tetapi yakin KKM dapat memantau perkara ini dengan berkesan.

"Kami faham mungkin ada masalah keselamatan terhadap pengembangan vaksin yang pantas dan kita sama-sama prihatin.

"Tetapi sebarang vaksin yang berpotensi akan dinilai secara menyeluruh melalui pemeriksaan ketat oleh KKM untuk keberkesanan dan keselamatan sebelum dipersetujui dan dinyatakan selamat untuk penduduk," tambahnya.

Lihat Komen
ADS