Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin tuntut ganti rugi RM1 juta dari Sin Chew
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 3:26 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada akhbar Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation.

Tuntutan berkenaan dibuat bagi mendapat pampasan berhubung artikel fitnah dan penyiaran gambar peribadinya bersama isteri ketika bercuti di Belanda pada 2016.

Merujuk kepada notis tuntutan berkenaan, Sin Chew Daily telah menyiarkan gambar terbabit berserta artikel bertajuk “Gambar Khairuddin berada di luar negara terdedah! Teresa Kok: Sebenarnya pergi melancong di tempat mana?” pada 1 Sept lalu.

Selain ganti rugi, Khairuddin juga menutut agar Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation supaya menghentikan fitnah dan memadamkan gambar dan artikel itu serta merta.

Agensi media terbabit juga diminta membuat permohonan maaf kepada Khairuddin tanpa syarat mengikut cara yang dipersetujui olehnya dalam tempoh tujuh hari daripada notis tersebut.

Tuntutan itu dikemukakan oleh firma guaman Zulpadli & Edham dalam notis bertarikh 14 Sept.

“Kami telah diarahkan anak guam kami untuk mengumpul kenyataan dan berita di media berita dan media baru berhubung penyebaran gambar peribadi lawatan anak guam kami dan isteri ke Belanda sekitar tahun 2016 iaitu ketika musim sejuk yang mengaitkannya dengan lawatan ke Turki pada 3 hingga 7 Julai 2020 iaitu ketika musim panas.

“Anak guam kami menegaskan bahawa beliau sering ke Belanda sejak 2016 hingga 2019 atas kapasiti peribadi dan urusan kerja termasuk berkunjung ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menghadiri perbincangan bagi membawa Israel ke muka pengadilan berkenaan isu kezaliman terhadap Palestin.

“Oleh yang demikian, kami telah diarahkan anak guam kami untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan menimbulkan persepsi jahat terhadap beliau,” kata firma guaman tersebut, lapor Kosmo Online.

Difahamkan bahawa laporan tersebut sudah tidak dapat diakses dalam laman web SinChew tetapi versi cache dapat ditemui di sini.

Firma guaman tersebut turut berkata bahawa prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation jika kedua-duanya gagal melaksanakan semua tuntutan tersebut.

Untuk rekod, sebelum ini, Khairuddin didapati gagal melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki apabila tiba di negara ini pada 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat kurang dari tujuh hari kemudian. Perkara itu didedahkan oleh Kok.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian memaklumkan bahawa Khairuddin telah dikompaun maksimum RM1,000.

Lihat Komen
ADS