Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
95 kes baru, satu lagi korban
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 6:04 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Jumlah kes baharu positif COVID-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas kekal dua angka pada 95 kes selain turut merekodkan satu kematian selepas 17 hari sifar kes maut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 10,147 kes dengan 129 kematian, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 754.

Kes baharu tersebut melibatkan 91 penularan tempatan dan empat kes import, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes penularan tempatan, 90 adalah di Sabah iaitu 76 kes direkodkan dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD) melibatkan 56 rakyat tempatan dan 20 warga asing, empat kes termasuk satu warga asing daripada Kluster Pulau, tiga kes Kluster Selamat, dan tiga kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) termasuk seorang warga asing di Hospital Lahad Datu.

Dr Noor Hisham berkata dua lagi kes adalah saringan bergejala di Hospital Tawau; serta masing-masing satu kes saringan kematian warga asing di Hospital Semporna (kematian ke-129) dan kes saringan kontak rapat kepada kematian ke-129.

Satu lagi kes melibatkan Kluster Bunga di Negeri Sembilan, katanya.

Memperincikan kematian ke-129 yang juga kes ke-10145, Dr Noor Hisham berkata wanita Filipina berumur 50 tahun itu mengalami gejala batuk serta sesak nafas pada 14 Sept dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sabah sebelum dirujuk ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

Pesakit bagaimanapun tidak berbuat demikian susulan kekangan yang dihadapinya dan dia kemudian ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Semporna dan disahkan meninggal dunia pada hari sama (14 Sept).

“Ujian saringan COVID-19 menunjukkan wanita itu positif COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 kes pulih sepenuhnya direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada wabak itu kini 9,264 kes atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, menyentuh pemakaian gelang kuarantin, Dr Noor Hisham menjelaskan terdapat gelang berwarna selain merah jambu digunakan Kementerian Kesihatan iaitu putih, biru, merah atau kuning.

Jelasnya, gelang kuarantin dipakai individu di bawah pengawasan seperti kontak rapat kes positif, pengembara yang pulang dari luar negara atau individu yang berada di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) secara pentadbiran.

Katanya pemakaian warna gelang kuarantin tertakluk kepada stok di kawasan setempat dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Tempat dan tarikh saringan dilakukan akan ditulis pada gelang tersebut. Gelang kuarantin hanya boleh dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah terlibat setelah tempoh kuarantin tamat.

“Sekiranya masih terdapat individu dengan gelang kuarantin berada di kawasan umum, laporan kepada pihak polis perlu dilakukan bagi melindungi masyarakat kita daripada risiko penularan Covid-19,” katanya.

- Bernama


 

Lihat Komen
ADS