Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tiga daripada empat kluster Covid-19 aktif di Sabah terus mencatatkan peningkatan kes baru, dengan Kluster Benteng Lahad Datu (LD) merekodkan kes tertinggi iaitu 76 daripada keseluruhan 95 kes baru hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif bagi kluster itu meningkat kepada 550, dengan sejumlah 7,814 individu disaring dalam tempoh 24 jam lepas.

Memperinicikan kluster tersebut beliau berkata, seramai 2,009 individu disaring di Lahad Datu, 5,804 individu disaring di Tawau dan satu kes disaring serta didapati positif di Sandakan.

“Bagi Lahad Datu, 151 kes dikesan positif dengan sembilan kes baru, 1,306 individu negatif dan 552 individu menunggu keputusan.

"Di Tawau, daripada 5,804 individu disaring, 398 kes dikesan positif dengan 66 kes baru, 4,120 individu negatif dan 1,286 individu menunggu keputusan.

“Daripada jumlah 550 kes positif, 271 adalah dalam kalangan warga Malaysia, manakala 279 bukan warganegara melibatkan rakyat Filipina (185 kes) dan Indonesia (94 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, bagi Kluster Pulau di Sabah, terdapat empat kes baru dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif kluster itu meningkat kepada 14 dengan sejumlah 345 individu disaring setakat hari ini.

“Di Kunak, seramai 342 individu disaring dan 11 didapati positif, 63 negatif dan 268 individu menunggu keputusan. Di Semporna, ketiga-tiga saringan yang dilakukan dikesan positif.

"Daripada 14 kes positif kluster ini, 13 ialah warga Malaysia manakala seorang warga Filipina,” katanya.

Mengenai Kluster Selamat juga di Sabah yang dikesan semalam, terdapat tiga kes baru dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak lima kes dengan 137 individu disaring.

Daripada jumlah tersebut, lima kes dikesan positif manakala 132 individu masih menunggu keputusan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai Kluster Bunga di Negeri Sembilan, Noor Hisham berkata terdapat satu kes baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster itu meningkat kepada 11 kes.

“Sehingga hari ini pukul 12 tengah hari, sejumlah 59 individu disaring dalam kluster ini.

"Pecahan jumlah saringan mengikut negeri: Di Selangor seramai 10 individu disaring dengan empat kes dikesan positif; di Negeri Sembilan, seramai 45 individu disaring dengan tujuh kes positif; di Terengganu keempat-empat individu yang disaring didapati negatif.

“Daripada jumlah saringan dalam kluster ini, 45 adalah warga tempatan dan 14 bukan warganegara yang terdiri daripada negara India enam individu; Filipina enam individu; Singapura dan Ghana masing-masing satu kes,” katanya.

Jelas Noor Hisham lagi, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi keempat-empat kluster tersebut masih diteruskan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS