Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konkrit hempap kereta: Prolintas arah henti kerja serta-merta

Pemaju projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn.Bhd. (Prolintas) mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta susulan kejadian dinding parapet terjatuh daripada struktur binaan lebuh raya itu dan menghempap sebuah kereta petang tadi.

Prolintas dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan terhadap kejadian yang berlaku berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) Suke telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat.

“Segala kesulitan yang timbul daripada insiden ini amatlah dikesali dan Suke akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi keselamatan semua,” menurut kenyataan itu.

Seorang wanita nyaris maut dalam kejadian itu selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Suke terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2 mengakibatkan kereta itu remuk dan wanita itu cedera pada tangan kirinya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan saluran komunikasi Suke di talian 1-300-88-9922, laman sesawang www.mysuke.com.my serta di Facebook Prolintas Highways atau Twitter @mySUKEofficial.

-Bernama

Lihat Komen
ADS