Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hajiji: Walau kali pertama bertanding, rakyat Sabah kenal PN

PRN SABAH | Meskipun Perikatan Nasional (PN) baru pertama kali bertanding dalam gelanggang PRN Sabah, namun gabungan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu sudah dikenali oleh seluruh rakyat di negeri ini, kata Hajiji Noor.

Pengerusi Bersatu Sabah itu berkata rakyat negeri juga mengetahui kewujudan PN dalam landskap politik negara, lebih-lebih lagi peranan dimainkannya ketika negara berdepan cabaran penularan wabak Covid-19.

Dia berkata bantuan disediakan kerajaan PN menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) juga memberi impak besar dalam kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan ia sudah meresap ke dalam fikiran serta jiwa mereka.

"Rakyat kenal PN. Walaupun baru, tetapi apa yang dibantu dan disumbangkan kepada rakyat jelas daripada kerajaan PN. Ini sudah meresap dalam fikiran dan jiwa rakyat bahawa yang membantu mereka dalam keadaan (mencabar) sekarang ialah kerajaan PN," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

PN Sabah terdiri daripada gabungan antara parti Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), yang turut menjadi rakan sekutu Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hajiji berkata keberkesanan pengurusan Covid-19 juga jelas membuktikan keupayaan PN mengendalikan krisis secara efektif termasuk dalam aspek memulihkan semula ekonomi rakyat di seluruh negara yang turut memanfaatkan penduduk di Negeri Bawah Bayu itu.

Ini dapat dilihat menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang telah banyak membantu sekali gus memberi nafas lega kepada para peniaga yang terjejas teruk berikutan perniagaan tidak dapat dijalankan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, katanya.

"Kita berterima kasih dan bersyukur kerana ada kerajaan yang prihatin dan peduli kepada rakyat ketika menghadapi kesusahan. Kerajaan PN memberi nafas kepada mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa menerusi bantuan berkenaan.

"Ini (Prihatin dan Penjana) adalah satu dasar cukup baik. Sekarang ekonomi sudah mulai pulih dan tempat kerja sudah dibuka. Saya dimaklumkan, setakat ini, hampir 15 juta rakyat mula bekerja," katanya, dan menambah, pakej itu perlu diteruskan kerana masih ramai rakyat memerlukan bantuan.

Calon DUN Sulaman itu juga berkata PN akan melakukan terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah sekiranya diberi mandat pada PRN Sabah, 26 Sept ini, termasuk memulihkan semula ekonomi di negeri itu.

"Kita mahu negeri dan rakyat Sabah maju. Untuk kita menjayakan impian ini, kita mesti bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, kita mesti sehaluan," katanya, yang optimis sembilan teras dalam Aku Janji GRS berupaya memulihkan ekonomi seterusnya membangunkan Sabah secara keseluruhan.

Dengan slogan ‘Sayangi Sabah’, Hajiji berkata, slogan itu dipilih kerana GRS termasuk PN mahu memberi khidmat terbaik kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira ideologi politik, kaum dan agama mereka.

Beliau berkata Aku Janji, yang antara lain merangkumi infrastruktur, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, pendidikan dan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta keselamatan itu, merupakan komitmen mereka yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Hajiji juga berharap rakyat akan menggunakan kesempatan pada PRN Sabah ke-16 ini untuk memilih kerajaan yang benar-benar diyakini boleh membawa kebaikan dan harapan baru kepada mereka.

"Ini adalah pilihan raya paling penting untuk memilih kerajaan. Pilih kerajaan yang dapat mentadbir dan membawa pelbagai kebaikan serta pembangunan kepada rakyat. Jangan salah pilih (kerajaan)," katanya.

Laporan oleh Rohana Nasrah

Lihat Komen
ADS