Malaysiakini
BERITA

Guan Eng: Kemenangan Warisan di Sabah dapat gesa PM lanjutkan moratorium

Diterbitkan

Kemenangan Warisan Plus dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan memberi tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melanjutkan tempoh moratorium, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim dalam kenyataan medianya berkata keengganan Muhyiddin melanjutkan moratorium akan menjejaskan lapan juta individu dan syarikat di negara ini.

"Master Builders Association Malaysia (MBAM) adalah pertubuhan yang terbaru merayu untuk pelanjutan moratorium, berikutan kerugian bagi industri pembinaan sebanyak RM11.6 bilion setiap bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac.

"Daripada jumlah tersebut, 29% kerugian disebabkan pengangguran pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.

"Apa yang penting ialah permintaan MBAM untuk melanjutkan moratorium selama setengah tahun lagi ialah suatu rayuan bantuan dan tangisan meminta talian hayat, bukan untuk mempromosi tetapi hanya untuk membantu melindungi salah satu sektor ekonomi yang paling penting di negara ini," katanya.

Menurut Lim, nilai moratorium pembayaran balik pinjaman yang ditanggung oleh institusi kewangan sejak 1 April dianggarkan berjumlah RM85.8 bilion, di mana RM30 bilion telah memberi manfaat kepada sektor perniagaan sementara RM 55.8 bilion melibatkan individu.

Bantuan ini, katanya, penting dalam melindungi mata pencarian, pekerjaan dan perniagaan 8 juta individu dan syarikat.

"Walaupun industri perbankan akan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion untuk lanjutan 6 bulan lagi, ini dapat ditanggung dengan mudah oleh industri perbankan yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019.

"Jika bank-bank tidak rela melakukannya, kerajaan boleh menyuntik RM6.4 bilion untuk membantu 8 juta rakyat dan syarikat Malaysia. Ini adalah wang yang berbaloi untuk dibelanjakan, dengan nilai berimpak tinggi kepada 8 juta individu dan syarikat Malaysia bernilai RM 86 bilion," katanya.

Lim turut menyorot bahawa Kementerian Sumber Manusia mendedahkan akan ada 1 juta rakyat Malaysia yang menganggur pada akhir September, di mana lebih daripada 500,000 orang merupakan belia.

"Kegagalan untuk melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman hanya akan menambah beban kepada 1 juta pekerja Malaysia yang menganggur.

"Oleh kerana kerajaan Persekutuan enggan mendengar suara rakyat, maka tekanan daripada luar diperlukan.

"Mungkin hanya kemenangan Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang yang dapat memaksa Muhyiddin untuk berubah fikiran dan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi," katanya.

Ekonomi Malaysia terjejas teruk selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada bulan Mac untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19.

PKP menyaksikan sebahagian besar kegiatan ekonomi negara terhenti selama hampir dua bulan, sebelum dibuka semula secara berperingkat mulai 4 Mei.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kesan terhadap individu dan perniagaan, Bank Negara pada bulan Mac memerintahkan bank untuk memberikan moratorium enam bulan secara automatik pada semua pembayaran pinjaman dan pembiayaan, kecuali hutang kad kredit.

Moratorium bermula pada 1 April dan akan berakhir pada 30 September ini.

Pada 29 Julai, Muhyiddin membuat pengumuman lain, di mana kerajaan beralih ke pendekatan sasaran untuk membantu mereka yang tidak mampu membayar pinjaman setelah 30 September.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.