Malaysiakini
BERITA

Saya boleh dapat sokongan jadi PM, kata Anwar pada Lim

Kow Gah Chie

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Sep 2020, 1:46 tengahari

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau boleh mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi calon perdana menteri PH.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sekali lagi mencadangkan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri sekiranya Anwar gagal mendapat sokongan.

"Dia beri pandangan, tak apa kita dengar pandangan tak ada masalah, tapi pandangan dia tidak [...] Dia (DAP) beri laluan kepada (Shafie) kalau saya tak boleh. 

"Jawab saya, saya boleh, inshAllah," tegas Anwar.

Keengganan DAP untuk menggugurkan cadangan Shafie menjadi calon perdana menteri sebagai alternatif kepada Anwar kembali membuka luka lama, terutama kepada PKR.

Sebagai maklum balas segera, Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar menggesa DAP memfokuskan pada pilihan raya Sabah, "bukannya berlumba-lumba untuk mematahkan semangat setiakawan."

Lim pertama kali mencadangkan Shafie sebagai calon perdana menteri dalam pertemuan antara DAP, Amanah, Warisan dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang kini bergerak di bawah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Usul itu bertujuan untuk memecahkan kebuntuan antara Anwar dan Mahathir kerana masing-masing tidak dapat menerima antara satu sama lain sebagai calon perdana menteri.

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari selepas Bersatu menarik diri daripada gabungan itu bersama sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas berjaya membentuk kerajaan Perikatan Nasional dengan sekutu BN, GPS, PAS, PBS dan Star.

Walaupun majoriti Muhyiddin rapuh, PH dan sekutunya masih gagal merebut kembali kekuasaan.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.