Malaysiakini
BERITA

SAR digerak lepas saksi dakwa nampak pesawat terhempas di Tg Bungah

Diterbitkan

Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan laut petang tadi selepas menerima laporan daripada saksi memaklumkan dia bersama rakannya ternampak sebuah pesawat ringan dipercayai telah terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah, di George Town hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata sehingga pukul 6.30 petang tadi pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terjatuh itu.

"Operasi dihentikan berikutan cuaca semakin gelap dan kemungkinan ia akan disambung esok jika kami mendapat maklumat terbaru mengenai kejadian tersebut.

"Polis juga setakat ini tidak menerima laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya ketika dihubungi Bernama di George Town hari ini.

Katanya dua lelaki itu memaklumkan mereka ternampak pesawat berwarna gelap tersebut terhempas kira-kira 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian pesawat terhempas itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"Selain itu, polis juga meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada juruterbang pesawat agar tampil membuat laporan polis kerana setakat ini kami memang tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang lelaki membuat laporan polis selepas dia dan rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam terus ke dalam laut ketika mereka berada di kawasan pantai di Tanjung Bungah hari ini.

Menurut saksi itu, kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan terdapat asap keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Berikutan itu, orang ramai mula membanjiri kawasan pantai tersebut untuk melihat operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa di kawasan laut termasuk Angkatan Pertahanan Awam.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.