Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bumbung kereta remuk tiada kaitan pembinaan SUKE

Sebuah kereta dipandu seorang lelaki remuk pada bahagian bumbung belakang selepas disyaki dirempuh sebuah kenderaan membawa kren di kawasan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Taman Leng Seng, Cheras, malam tadi.

Ia sekali gus menepis dakwaan tular di media sosial bahawa kejadian itu berkaitan dengan pembinaan lebuh raya SUKE.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata laporan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian tidak menemui sebarang objek yang disyaki menghempap kenderaan terbabit.

"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurucakap Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) ketika dihubungi Bernama berkata kerja-kerja pembinaan lebuh raya SUKE dihentikan serta-merta sejak insiden membabitkan kenderaan dipandu seorang wanita dihempap parapet konkrit petang semalam.

Jelasnya, laporan awal yang diterima Prolintas mendapati kejadian disyaki berlaku membabitkan kemalangan dua kenderaan.

Kejadian itu tular di media sosial malam tadi memaparkan sebuah kereta rosak di bahagian bumbung dan pasukan bomba melakukan operasi.

Menerusi video tersebut, mangsa seorang lelaki berusia 50-an dilihat berada dalam keadaan selamat.

Sabtu lalu, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit dari kerja-kerja pembinaan lebuh raya SUKE menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera di bahagian tangan kiri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS