Malaysiakini
BERITA

Syed Saddiq lanjut pengajian sambil terus berkhidmat

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Sep 2020, 1:39 pagi

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru memohon untuk mendaftarkan parti barunya minggu lalu, kini perlu menggalas 'tugasan' baru juga.

Selain aktif berpolitik bekas menteri belia dan sukan itu kini perlu meluangkan masanya untuk mengikuti pengajian di Universiti Nasional Singapura.

Mengumumkan hal itu malam tadi, Syed Saddiq berkata dia mendapat tempat dan biasiswa di universiti berkenaan untuk mengikuti program Lee Kuan Yew's Senior Fellowship in Public Service.

Katanya berita gembira itu disimpannya sendiri sejak Jun lalu tetapi disebabkan kelasnya akan bermula hari ini, ia dikongsikan untuk kawan-kawannya.

"Sebagai orang muda, ada banyak yang perlu saya belajar lagi untuk meningkatkan kebolehan saya untuk berkhidmat," katanya.

Syed Saddiq merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada) sebelum parti itu memilih untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sekali gus menjatuhkan kerajaan yang mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum kira-kira dua tahun lalu.

Tidak seperti kebanyakan ahli parlimen lain, Syed Saddiq memilih untuk menyokong bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, yang tidak menyertai gerakan dilakukan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun apabila Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air, Syed Saddiq tidak menyertai ahli parlimen Langkawi berkenaan, sebaliknya memilih untuk mengasaskan gerakan lain, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Permohonan untuk mendaftarkan Muda sebagai parti politik dibuat pada 17 Sept lalu.

Semasa menjadi anggota kerajaan PH Syed Saddiq menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford di United Kingdom sebanyak dua kali.

"Akhirnya saya mendapat peluang untuk mempertajamkan kemahiran dasar awam saya sambil terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

"Terima kasih kerana memberikan saya peluang ini sambil berkhidmat," katanya.

Hantaran itu turut disertakan sekeping gambar Syed Saddiq bersama surat tawaran yang diterimanya daripada universiti terbabit.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.