Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
ATM sedia hadapi sebarang ancaman pada PRN Sabah
Diterbitkan:  Sep 22, 2020 11:36 AM
Dikemaskini: 5:02 AM

PRN SABAH l National Task Force (NTF) yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkuat "Op Benteng" di Sabah bagi berdepan kemungkinan kemasukan pendatang asing secara besar-besaran dari negara jiran ke Sabah bagi mengganggu proses pengundian Sabtu ini.

Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, berkata berdasarkan maklumat polis sebelum ini, ATM bersedia menghadapi sebarang situasi atau ancaman yang cuba mengganggu keharmonian dan kedaulatan negara.

"Kawalan persempadanan maritim dan daratan bukan sahaja di Sabah malah diseluruh negara akan terus diperkukuh sebilang masa.

"Dengan penglibatan dan kerjasama padu anggota serta aset-aset dari semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan, ia diaturgerakkan secara terancang terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan proses pilihan raya negeri berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dipimpin oleh ATM, NTF juga melibatkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem), Jabatan Imigresen, dan Jabatan Kastam.

Affendi menggesa rakyat Sabah supaya menjadi "mata dan telinga" dan memberi maklumat mengenai aktiviti pencerobohan dan jenayah yang berkaitan dengan perbatasan ke talian hotline NTF di 011-6251 1223.

Pada 20 September, Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali mendakwa polis telah menerima maklumat mengenai rancangan untuk menimbulkan gangguan semasa hari pengundian.

"Bersempena dengan pilihan raya negeri Sabah, kami telah menerima maklumat bahawa akan ada banyak pendatang dari negara jiran yang akan datang ke Sabah untuk menimbulkan gangguan.

"Kita harus menggagalkan ini agar pemilihan dapat berjalan dengan lancar dan ketertiban umum dan keamanan dapat dijaga," kata Hazani.

Namun, beliau tidak mendedahkan perincian mengenai perkara itu.

Hazani pada sidang medianya hari ini selepas meninjau pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini  juga enggan mendedahkan sumber maklumat berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah itu sekadar mengulangi bahawa kawalan keselamatan di Sabah sedang terus dipertingkatkan dan memberi jaminan pasukan keselamatan akan memastikan ancaman-ancaman itu tidak berlaku.

"Cubaan untuk culik (untuk mendapatkan wang tebusan) memang ada. Maklumat ini kita terima daripada pasukan keselamatan Filipina...memang ada cubaan (penjenayah) di sana untuk menyeberang untuk melakukan jenayah tersebut,” katanya yang dipetik Bernama.

Malah terdapat sembilan cubaan masuk kumpulan penjenayah dari Filipina yang dipercayai cuba melakukan kegiatan menculik untuk wang tebusan di Sabah sejak Mei lepas sehingga kini, katanya.

Sebelum ini, Hazani mendedahkan pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat negara asing untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Sabtu ini.

“Pada tahun 2018 terdapat satu kes culik berlaku di Tambisan, Lahad Datu semasa pilihan raya (umum) dan kita jangkakan atas kesibukan anggota keselamatan khususnya polis pada ketika ini...pihak dari negara jiran cuba masuk dan membuat kekacauan.

"Oleh itu kita terus perketatkan kawalan di sempadan perairan kita bukan sahaja di musim pilihan raya ini tetapi sepanjang masa untuk memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terus terjamin," katanya.

Sementara itu, Hazani berkata sebanyak 35 laporan polis diterima berhubung kenyataan seorang calon pilihan raya berkenaan insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013 yang didakwanya sebagai satu sandiwara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 28 laporan polis dibuat di Sabah manakala tujuh lagi laporan diterima di Semenanjung berkenaan kandungan ceramah yang dilakukan oleh seorang bekas menteri di lokasi ceramah di gelanggang futsal Kampung Wawasan di Lahad Datu pada jam 3 petang Ahad lalu.

“Kes sudah dibuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 500 dan 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukti Aman akan mengambil alih sepenuhnya siasatan yang akan dijalankan.

“Siasatan akan dilakukan secara profesional dan selepas selesai kertas siasatan akan dihantar ke pihak peguam negara untuk arahan lanjut,” katanya.

Tambah Hazani, calon terbabit mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan selepas selesai PRN Sabah, bertujuan tidak menggangu proses kempen dan pilihan raya yang sedang berlangsung ketika ini.


Lihat Komen
ADS