Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai JPN didakwa terima suapan RM16,000
Diterbitkan:  Sep 22, 2020 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Seorang penolong pegawai pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru hari ini, terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah wang berjumlah RM16,000, dua tahun lepas.

Tertuduh Mohd Fazdhly Abdul Razak, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan, di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Fazdhly sebagai seorang penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Pendaftaran (KP32) di JPN Putrajaya, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM10,000 dan RM1,500 yang dideposit ke dalam akaun bank miliknya oleh seorang lelaki, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Fazdhly didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM4,500 yang didepositkan ke dalam akaun bank sama, oleh lelaki yang sama.

Ketiga-tiga kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dua bank di cawangan Masai dan Taman Johor Jaya, di Johor Bahru, pada 13 Jun, 4 Julai serta 18 Julai 2018.

Mohd Fazdhly didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Mahirah Mohd Pauzi memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mohd Fazdhly yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu wang jaminan dikurangkan dengan alasan menggadai tanah pusaka di kampung bagi menyediakan wang jaminan itu, selain menanggung tiga anak berumur antara tujuh dan 14 tahun, isteri yang tidak bekerja serta ibu mentua yang menderita barah rahim tahap tiga.

Kamarudin kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 26 Okt depan untuk sebutan semula kes itu bagi penyerahan dokumen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS