Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Waytha Moorthy, Ibrahim Ali, akan beri keterangan pada bicara kes saman
Diterbitkan:  Sep 22, 2020 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah yang bermula 20 Sept 2021, di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Saman fitnah itu difailkan Waytha Moorthy berhubung ucapan Ibrahim dalam satu Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa, yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2 Dis 2018.

Peguam K Kanagavalli, yang mewakili Waytha Moorthy selaku plaintif memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menetapkan 20 hingga 23 Sept tahun depan, untuk perbicaraan kes saman itu.

“Anak guam saya (Waytha Moorthy) akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu, namun berapa ramai saksi lain yang akan memberi keterangan masih belum diputuskan lagi,” katanya selepas prosiding pengurusan kes itu di dalam kamar Latifah.

Kanagavalli berkata perbicaraan kes saman itu yang sebelum ini ditetapkan selama tiga hari bermula 8 Jun lalu dilapangkan, kerana pihaknya memohon untuk meminda beberapa penyataan dalam tuntutan saman dan mahkamah membenarkannya.

Peguam Syed Mohamed Afiq Syed Mohamed Noor Azmi, yang mewakili Ibrahim selaku defendan pula berkata, pihaknya akan mengemukakan empat saksi antaranya Ibrahim dan Setiausaha Agung Perkasa Syed Hasan Syed Ali.

“Kedua-dua pihak perlu menyerahkan penyataan saksi sebelum atau pada 1 Sept tahun depan, dan mahkamah menetapkan 25 Feb depan untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Pada 14 Mac tahun lepas, Waytha Moorthy, 54, memfailkan saman itu selepas mendakwa Ibrahim, 69, yang dinamakan sebagai defendan, telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam mesyuarat tersebut yang dianjurkan pada 2 Dis 2018.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada hari sama ucapan defendan itu telah diterbitkan dalam Malay Mail Online bertajuk At Perkasa AGM, enraged Ibrahim Ali calls Waytha Moorthy a pig (Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa, Ibrahim Ali dengan marah memanggil Waytha Moorthy sebagai babi) dan kemudiannya telah tular dalam media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya.

Waytha Moorthy mendakwa defendan telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah itu dengan niat untuk menghina, merendah-rendahkan, memalukan dan mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan oleh orang ramai dan bersifat niat, untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk menyingkirkan beliau daripada Kabinet.

Dakwanya, disebabkan defendan mengeluarkan kenyataan tersebut, plaintif telah benar-benar dimudaratkan daripada segi kebolehpercayaan dan reputasinya sebagai pemimpin negara, serta sebagai seorang Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, dan kewibawaan secara peribadi serta reputasinya.

Antara lain, plaintif memohon perintah injunksi terhadap defendan supaya tidak lagi menmgeluarkan kata-kata fitnah itu, serta memohon ganti rugi am, teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS