Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice sah akan menghadiri mesyuarat Asean di Kuala Lumpur minggu ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Beliau telah mengesahkan kehadirannya. Saya fikir ini adalah baik kerana AS adalah sebuah negara penggerak yang penting di dunia," kata Syed Hamid kepada pemberita selepas menutup Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Tetap Asean (ASC) ke-39 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibunegara.

Rice akan menghadiri Forum Rantau Asean (ARF) ke-13 yang akan diadakan sempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Asean (AMM) ke-39 esok.

Syed Hamid berkata kehadiran Rice akan memberikan peluang kepada Asean membincangkan perkembangan global terkini dengan negara kuasa besar dunia itu.

Menurut laporan Bernama, Rice kini melakukan lawatan ke Asia Barat untuk mendesak pengurangan konflik politik Lubnan-Israel yang boleh mencetuskan satu peperangan besar.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS petang ini menghantar surat bantahan kepada Syed Hamid berhubung kedatangan Rice itu. Salinan surat itu difaks kepada malaysiakini lewat petang ini

" Pemuda PAS membantah kehadiran Setiausaha Negara Amerika itu di atas sikap Amerika ke atas isu Lubnan dan Palestin," kata ketuanya, Salahuddin Ayob di dalam surat tersebut.

Sementara itu Jumaat lalu ketika mengadakan demonstrasi anti-Israel di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, para pemimpin PAS menegaskan akan mengadakan demonstrasi anti-Amerika jika Rice hadir di mesyuarat berkenaan.

Namun begitu, Syed Hamid berkata, Asean mahu bertukar-tukar pandangan dengan Rice mengenai isu program senjata nuklear Korea Utara serta kelewatan ke arah perubahan dan demokrasi di Myanmar.

"Amerika sebuah kuasa besar. Adalah baik untuk kita untuk berbincang," kata Syed Hamid.

Gencatan senjata

Syed Hamid juga memberitahu Asean akan mengeluarkan kenyataan berasingan mengenai isu Asia Barat.

"Perhatian kita ialah terutamanya Asia Barat, situasi itu sangat tidak stabil. Saya rasa ada perasan kecewa dan marah jika masyarakat antarabangsa tidak mampu berbuat ssesuatu berhubung penggunaan tentera yang keterlaluan oleh Israel," kata beliau.

Beratus-ratus orang awam terbunuh terutamanya di Lubnan sementara beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal di negara itu kerana Israel terus melancarkan serangan melepasi sempadan kedua-dua negara itu yang kini sudah hampir dua minggu.

Syed Hamid berkata bahawa isu itu tidak dapat menyatakan siapa yang betul atau salah. Ia kini telah mengambil satu dimensi kemanusiaan apabila "kanak-kanak dan bayi cedera teruk atau terbunuh".

"Terdapat satu peraturan pengendalian dalam undang-undang antarabangsa dan peraturan itu tidak dipatuhi...hak terhadap pertahanan sendiri bukan bermakna ia satu hak untuk memusnahkan atau menyebabkan cedera kepada penduduk awam," kata Syed Hamid.

Beliau berkata bahawa Asean mahu melihat satu gencatan senjata kerana hanya dengan itu seseorang boleh bercakap mengenai kestabilan atau pasukan pengaman di kawasan berkenaan.

"Jika kita mula menuduh dan mengambil pandangan tertentu, kita tidak akan mampu untuk membolehkan pihak berkenaan berdamai. Apa kita mahu ialah melihat gencatan senjata...kedua-dua pihak yang tidak melukakan sesiapa pun. Kita perlu berbuat demikian dalam cara untuk mencari satu penyelesaian kukuh dan berkekalan," kata beliau.