Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli PKR sahkan digantung, tapi nafi pukul Rafizi
Diterbitkan:  Sep 22, 2020 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Anggota PKR dan juga penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Lembah Jaya, Daing Muhammad Reduan Bachok mengesahkan keanggotaannya digantung parti itu, berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun, Daing Reduan menafikan dakwaan dia digantung kerana menunggu keputusan Mahkamah Kota Kinabalu Sabah bersabit dakwaan memukul naib presiden parti itu Rafizi Ramli, pada 2018 lalu.

Sebaliknya, Daing Reduan berkata dia didakwa di bawah Seksyen 509 atas kesalahan mendatangkan keaiban dengan mengeluarkan kata-kata kesat. 

"Saya telah menerima surat pengesyoran penggantungan keanggotaan saya daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan penggantungan sementara di bawah fasal 41.6 dari Lembaga Disiplin PKR seperti yang ditularkan.

"Saya sudah pun berutus surat kepada Lembaga Disiplin menerangkan situasi dan fakta kes sebenar.

"Saya dengan tegas menafikan tuduhan fitnah yang dilemparkan kepada saya mengatakan bahawa saya telah di dakwa di mahkamah atas pertuduhan menyerang dan mencederakan Rafizi Ramli.

"Sebaliknya saya dituduh di bawah Seksyen 509 atas kesalahan mendatangkan keaiban dengan mengeluarkan kata-kata kesat," katanya dalam satu kenyataan media.

Daing Reduan berkata demikian mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa PKR menggantung keanggotaannya sementara menunggu keputusan Mahkamah Kota Kinabalu Sabah berhubung tuduhan memukul naib presiden parti itu Rafizi Ramli, pada 2018 lalu.

Surat yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa hari ini, 21 September 2020.

Surat itu menyatakan penggantungan Daing di bawah Fasal 41.6 perlembagaan PKR.

Mengulas lanjut, Daing Reduan berkata dia juga sudah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, atas pertuduhan tersebut. 

Malah katanya, dia juga akan turut serta dalam siri kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah, esok.

"Saya masih yakin dengan teguh prinsip dan idealisma perjuangan PKR yang digagaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

"Esok saya akan mula bertugas di Sabah bersama Pimpinan dan anggota PKR Cabang Ampang bagi memenangkan calon-calon PKR yang bertanding di PRN Sabah," tambahnya. 

Hari penamaan calon untuk pilihan raya Sabah akan berlangsung pada 12 September sementara hari pengundian ditetapkan pada 26 September.

Rafizi pada Nov 2018 mendakwa dipukul di bahagian kepala oleh seorang lelaki ketika membuat tinjauan proses pengundian pemilihan di Cabang Keningau, Sabah.

Bagaimanapun, Rafizi yang juga bekas anggota parlimen Pandan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Daing juga dilaporkan enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan itu, namun hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 6 Nov 2018.

Lihat Komen
ADS