Adinda Sultan Pahang mati ditikam
Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar, adinda kepada Sultan Pahang, ditemui mati dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan di kediamannya di Lorong Kubang Buaya, Kuantan hari ini.
Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar, adinda kepada Sultan Pahang, ditemui mati dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan di kediamannya di Lorong Kubang Buaya, Kuantan hari ini.
Suaminya, Tengku Ismail Tengku Sulaiman, yang turut cedera dalam kejadian pada 1.30 petang itu, dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menjalani pembedahan. Polis telah menahan seorang suspek, dipercayai saudara si mati untuk siasatan.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengesahkan kejadian itu.
Tengku Puteri Kamariah, yang ditikam dengan pemutar skru, ditemui oleh seorang ahli keluarganya.
Pihak media yang menunggu di perkarangan rumah itu sejak 3 petang tadi belum mendapat maklumat penuh tentang kejadian itu.
Menurut laporan Bernama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kelihatan memasuki perkarangan rumah pada 3.20 petang diikuti Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah.
Pada 4 petang, anggota polis dilihat membawa keluar mayat Tengku Puteri Kamariah dan menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan. Jenazahnya kemudian dibawa balik ke rumah itu oleh polis pada 5.14 petang.
Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah tiba dari Cameron Highlands pada 5.20 petang.

