Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar bayangkan tempat buat Muhyiddin dalam kerajaan baru
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 1:13 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bekerjasama memastikan peralihan lancar tampuk kepimpinan negara.

Anwar berkata dia tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Muhyiddin atau mempunyai masalah peribadi dengan presiden Bersatu itu.

“Kesediaan dia bekerjasama akan membantu supaya perubahan, peralihan itu aman dan teratur,” kata Anwar ketika menjawab soalan pemberita selepas mengumumkan cukup majoriti membentuk kerajaan baru.

Dalam pengumuman hari ini, Anwar berkata dia mempunyai majoriti kukuh dan dengan itu bermakna kerajaan pimpinan Muhyiddin telah jatuh, tidak sampai tujuh bulan selepas ia dibentuk.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan angka sokongan sebelum ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan baru yang akan dibentuk, menurut Anwar, melibatkan gabungan baru, termasuk daripada parti pemerintah sedia ada.

Dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah hari ini, Anwar juga memberi bayangan ada kedudukan buat Muhyiddin, walaupun tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

“Dan seandainya beliau bersedia beliau boleh bersedia berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai,” kata Anwar.

Sementara itu, Muhyiddin dijadual akan menyampaikan perutusan khas pada jam 2.30 petang hari ini.

Menurut poster yang dikirimkan oleh pejabatnya, perutusan khas "Kita prihatin" itu akan disiarkan secara langsung.

Setakat ini belum pasti sama ada Muhyiddin akan menyentuh perkembangan terbaru politik tanah air hari ini.

Lihat Komen
ADS