Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 147 kes baru, 3 kematian
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 5:34 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Jumlah kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu di negara ini melepasi tiga angka, iaitu 147 kes dengan Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media berkata daripada 147 kes baru itu, sebanyak 143 adalah penularan tempatan membabitkan 115 warga tempatan dan 28 warga asing. Katanya, 134 kes dikesan di Sabah; lima di Kedah; Selangor (2) dan masing-masing satu di Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan.

Manakala empat kes import itu membabitkan tiga warga tempatan dan satu warga asing yang pulang dari India (3 kes) dan Indonesia (1 kes).

"Ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10,505 kes dengan kes aktif pada 770.

"39 kes pulih hari ini sementara lapan dirawat di ICU dengan dua perlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat tiga kematian yang dicatatkan sepanjang 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 133 orang.

Jumlah kes kematian itu merupakan yang tertinggi dilaporkan dalam tempoh 24 jam sejak April.

Dua daripada kematian tersebut direkodkan di Hospital Tawau, Sabah, sementara yang lain di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Kematian ke-131 melibatkan seorang wanita Indonesia berusia 48 tahun (Kes 10495) yang mempunyai sejarah diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Dia mula mengalami muntah, batuk, demam, dan kelemahan pada 14 September sebelum dibawa ke jabatan kecemasan Hospital Tawau pada 18 September dalam keadaan separuh sedar dan seterusnya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 19 September.

"Dia meninggal pada hari yang sama pada pukul 10.20 malam, tetapi hasil ujian positif hanya diperoleh tiga hari kemudian pada 22 September," katanya.

Sementara itu, kematian ke-132, melibatkan lelaki Malaysia berusia 54 tahun (Kes 10493) yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan Hospital Semporna kerana demam, batuk, dan kesukaran bernafas pada 18 September.

Menurut Dr Noor Hisham, ujian Covid-19 kemudian dilakukan, dan lelaki itu  dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September untuk dimasukkan ke ICU kerana keadaannya yang semakin buruk.

"Dia disahkan mati pada jam 6.55 petang semalam. Pada hari yang sama, ujian keputusan yang diperoleh positif Covid-19," katanya.

Di Kedah, kematian ke-133 melibatkan lelaki Malaysia berusia 72 tahun (Kes 9224) dengan sejarah strok.

Dia adalah sebahagian daripada kluster Tawar dan merupakan individu yang rapat dengan Kes 9124 yang telah meninggal pada 30 Ogos.

Ini adalah kematian kedua yang melibatkan kluster itu, yang berkaitan dengan pengebumian yang diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos.

Noor Hisham berkata Kes 9224 tidak menunjukkan simptom tetapi diuji positif untuk Covid-19 pada 19 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, di mana keadaannya merosot dan dimasukkan ke ICU.

Dia disahkan meninggal dunia pada jam 3.40 pagi ini.

"Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka," kata Dr Noor Hisham.

 

Lihat Komen
ADS