Sebuah syarikat perniagaan di sebuah pasar raya dekat Kulai, Johor, dikompaun RM20,000 Isnin lepas kerana menjual pelitup muka melebihi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Mohd Hanizam Kechek berkata tindakan syarikat itu menjual pelitup muka tiga lapisan dengan harga RM1.50 seunit disedari oleh orang ramai yang kemudian membuat aduan kepada pihaknya.

“Kami mendapat aduan daripada orang ramai bahawa pelitup muka tiga lapisan itu dijual pada harga RM1.50 seunit sedangkan harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan ialah pada RM1 seunit.

“Sehubungan itu, kompaun serta-merta dikeluarkan kepada syarikat berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Mohd Hanizam menjelaskan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), KPDNHEP Johor menjalankan 3,712 pemeriksaan ke atas semua rangkaian perniagaan yang terlibat seperti farmasi, kedai ubat-ubatan dan premis yang menjual pelitup muka di seluruh negeri.

“KPDNHEP Johor turut terima 174 aduan berkaitan harga pelitup muka diterima di seluruh pejabat cawangan negeri... kesemua aduan yang diterima adalah berkenaan penjualan harga pelitup muka yang mahal,” katanya.

- Bernama