Malaysiakini
BERITA

Tajuddin: Bubar parlimen jalan terbaik

Haspaizi Zain

Diterbitkan

Bubar Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negara.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata ia langkah terbaik daripada membiarkan perbuatan melompat parti yang mengakibat keadaan negara huru-hara.

"Muhyiddin Yassin ada pilihan, dia boleh bubarkan Dewan Rakyat dan pilihan yang terbaik adakan PRU, baru biar rakyat tentukan siapa dapat mandat.

"Lompat melompat parti dah jadi macam kartun, dah jadi politik caca marba. Bubar saja Parlimen bagi pada rakyat biar rakyat tertentukan.

"Yang melompat (parti) tentu ada ganjaran, wakil rakyat boleh dijual beli beli dengan duit dan pangkat apa jenis politik kita ini, kita nak wakil rakyat yang bekerja, berwibawa dan berintergriti," katanya kepada Malaysiakini.

Tajuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan politik semasa hari ini yang menyaksikan Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan.

Anwar memaklumkan perkara itu dalam sidang media berkenaan di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Pada sidang media sebentar itu, Anwar mendakwa dia sudah memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan namun enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata bahawa lebih wajar jika dia menyerahkan jumlah sokongan wakil rakyat itu kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil, bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” kata Anwar.

Tajuddin berkata, Anwar boleh membuktikan yang beliau mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan di Dewan Rakyat.

Katanya, Ketua Pembangkang itu perlu membuktikan yang beliau mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Kalau dalam Parlimen ada perubahan dan dapat sokongan majoriti baru boleh iktiraf sebagai alasan jatuh kerajaan (yang ada kini).

"Kalau ada nombor buktikan dalam Parlimen, tak boleh gegar cakap ada nombor. Jadi, dia tak boleh kata (kerajaan PN) jatuh," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.