Malaysiakini
BERITA

'Presiden dan Majlis Tertinggi Umno sudah jadi ejen bebas'

A Kadir Jasin

Diterbitkan

ULASAN | Seorang wartawan kanan tempatan yang bertugas dengan sebuah penerbitan asing menulis dalam Facebooknya: "Umno breakup?". Maksudnya "Umno pecah?"

Dia merujuk kepada kenyataan media Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkenaan dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, hari ini yang dia ada majoriti untuk jadi perdana menteri.

Seperti saya tulis dalam Facebook saya tengah hari tadi, saya akan percaya hanya apabila Anwar angkat sumpah jadi Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin hilang kerusi Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid, antara lain berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sokongan kepada kerajaan PN (pimpinan Muhyiddin) merupakan sokongan peribadi oleh Ahli Dewan Rakyat Umno/BN.

Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar (sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin).

Ahmad Zahid berkata dia telah dimaklumkan yang ramai Ahli Parlimen Umno dan BN telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sama seperti dia tidak menghalang Ahli Parlimen Umno dan BN menyokong Muhyiddin, sekarang dia tidak menghalang mereka menyokong Anwar.

Jadi tidak hairanlah kalau wartawan yang saya petik itu membuat andaian Umno sudah berpecah.

Nampak macam itulah. Presiden Umno dan Majlis Tertinggi tidak lagi membuat keputusan calon mana Ahli Parlimen Umno wajib sokong sebagai Perdana Menteri.

Mereka buat keputusan sendiri. Kalau pada bulan Mac lalu mereka sokong Muhyiddin sampai dia dilantik jadi Perdana Menteri, sekarang mereka bebas campak dia dan ambil Anwar.

Mereka sudah jadi ejen bebas (free agent) dan Umno tidak lagi ada pendirian atau peranan dalam pemilihan seorang Perdana Menteri.


A KADIR JASIN ialah seorang tokoh wartawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.