Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan tarik balik rayuan untuk batal pertuduhan

Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya untuk dibebaskan daripada tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Atiqa Nazihah Azmi yang mewakili Ahmad, 54, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihaknya telah memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 3 Ogos lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan pihaknya telah menerima notis penarikan balik rayuan berkenaan dan tidak membantah permohonan itu.

Muhammad Jamil kemudian membatalkan rayuan Ahli Parlimen Pontian itu.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Atiqa Nazihah berkata penarikan balik rayuan itu dibuat berikutan pihaknya sebelum ini telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu di Mahkamah Tinggi, yang kemudiannya didengar serta diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Pada 14 Ogos lepas, Aslam menolak permohonan Ahmad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 24 Julai lepas, yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan itu, selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan bekas timbalan menteri kewangan itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek berkenaan telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Ahmad didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS