Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan seorang wanita muda Melayu melindungi seorang warga emas berbangsa India daripada terik matahari mendapat perhatian dan pujian rakyat Malaysia di laman Facebook.

Ia selepas cucu kepada warga emas itu, Privitha Maimaran memuat naik sekeping gambar di Facebook miliknya bagi menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada wanita yang meneduhkan neneknya menggunakan sebuah fail.

"Bagi pihak nenek dan keluarga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita Melayu yang memegang fail bagi melindungi nenek saya daripada terik matahari semasa mereka menunggu lama di kaki lima.

"Apa sebabnya saya kongsikan gambar ini? Pada masa ini, masih ada di luar sana yang tidak pernah membezakan antara kaum dan menghormati warga emas dari pelbagai kaum," katanya pada hantaran gambar berkenaan.

Terdahulu, gambar yang dimuat naik Privitha itu tular di Facebook selepas dikongsi lebih 27,000 reaksi dengan 8,800 tanda 'love' serta dikongsi lebih 17,000 kali oleh pengguna media sosial itu setakat jam 11 pagi, hari ini.

Gambar itu menunjukkan seorang wanita Melayu meneduhkan warga emas berkenaan dengan sebuah fail di tangannya ketika sedang beratur di kaki lima sebuah bank di Ipoh, Perak.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Privitha mengatakan gambar itu diambil di hadapan Maybank di Ipoh sekitar jam 11 pagi Rabu (semalam).

Dia mengatakan bahawa neneknya, Lachumi Arunasalam, 78, mempunyai urusan dengan bank dan dihantar ke sana oleh sepupunya.

"Sepupu saya perlu menunggu di dalam kereta kerana dia perlu menjaga anak-anaknya, yang dia bawa.

"Mereka yang ingin memasuki bank harus menunggu dan mengikuti SOP (prosedur operasi standard) pencegahan wabak Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

"Ketika sepupu saya melihat wanita itu membantu melindungi kepala nenek kami dari terik matahari, dia segera mengambil foto yang kemudian dia kirimkan kepada saya," kata Privitha yang turut berjaya mengesan wanita berkenaan selepas gambar tersebut tular dan menyatakan penghargaannya.

Sejak wabak Covid-19 melanda negara ini, pihak berkuasa kesihatan telah menerapkan garis panduan ketat untuk mencegah penyebaran wabak itu. Ini termasuk mengehadkan jumlah pelanggan di premis perniagaan pada waktu tertentu, dan mewajibkan setiap individu mendaftarkan diri dan memeriksa suhu badan.

Lihat Komen
ADS