Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen Umno nafi bersama Anwar
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 10:50 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Beberapa anggota parlimen Umno menolak spekulasi mereka memberikan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Penafian itu berlaku setelah senarai didakwa nama-nama pemimpin Umno yang mengalih sokongan itu menjadi tular dan disiarkan portal The Coverage.

Anggota Parlimen Padang Terap yang juga Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, misalnya menafikan dia terbabit untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya, Mahdzir bin Khalid, Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baru yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian," tulisnya di Facebook, semalam.

Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abd Rahman turut menafikan dia memberikan sokongan kepada Anwar.

Tegas Tajuddin, dia masih kekal dalam Umno dan menyokong kerajaan PN dan Anwar pula mesti membuktikan sokongan yang diterimanya itu dalam Dewan Rakyat.

"Anwar ini sebenarnya terkenal dengan sandiwara, dulu 16 Sept dia (dakwa) mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal.

“Jadi kita tidak terkejut dengan sandiwara dia, bagaimanapun kalau betul dia mempunyai angka, ia tidak automatik membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri," katanya kepada portal berita Umno Online.

Sementara itu Anggota Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar, secara sinis mengucapkan ‘terima kasih’ kerana Anwar mengingatinya dan menyenaraikan dia sebagai Menteri Kerja Raya, merujuk kepada senarai yang tidak disahkan ketulenannya itu.

"Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan.

"Bincang apa pun tidak, tiba-tiba nama saya ada,” katanya kepada portal sama.

Antara nama lain lain dikaitkan dengan senarai itu, Anggota Parlimen Parit, Nizar Zakaria, pula menyifatkan Anwar terkena "sindrom Sept".

“Asal bulan September sahaja dia cakap ada majoriti, dulu pun begitu.

“Bagi saya, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya menyokong Anwar. Saya teguh bersama suara parti. Ini semua salah satu cara Anwar untuk mempengaruhi pengundi di pilihan raya negeri (PRN) Sabah,” katanya.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, memberitahu Umno Online dia tidak tahu-menahu perkara tersebut dan tumpuannya kini hanyalah kepada memastikan BN dan rakan kongsi mereka menang dalam PRN Sabah.

Turut menafikan menyokong Anwar angota Parlimen Cameron, Ramli Mohd Nor.

"Saya, Ramli Mohd Nor, anggota Parlimen Cameron Highlands dari Umno, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baru yang diketuai oleh anggota Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian. Jauh panggang dari api," tulisnya di Facebook.

[Baca berita penuh] 

Lihat Komen
ADS