Bersatu Terengganu bersetuju PAS diberi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Razali Idris, berkata persetujuan itu mengambil kita jumlah kerusi yang dimenangi PAS dalam pilihan raya lalu, iaitu lebih dua per tiga.

“Itu kita tidak boleh nafi, PAS dapat 22 daripada 32 kerusi DUN dan enam daripada lapan kerusi parlimen.

“Di peringkat negeri kita belum ada rundingan kerusi lagi cuma secara dasarnya kita setuju PAS dapat lebih kerusi,” katanya seperti dipetik FMT hari ini.

Pada masa sama Razali berkata, Bersatu Terengganu bercadang untuk bertanding di lapan kerusi DUN jika mendapat persetujuan semua pihak iaitu satu bagi setiap kawasan parlimen.

Mengulas lanjut, dia yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, berdasarkan maklumat perbincangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), setiap kerusi baik - sama ada parlimen atau DUN - yang dimenangani PAS, Umno dan Bersatu, ia akan dikekalkan kepada parti terbabit.

Hal itu, katanya, termasuk bagi kerusi yang pemenangnya melompat ke parti lain selepas PRU ke-14 lalu.

Kaedah rundingan kedua juga, kata Razali, dicadangkan melalui pertukaran kerusi antara rakan PN.

“Contohnya PAS ada enam kerusi parlimen di Terengganu, ia tiada kerusi misalnya di Selangor atau Johor.

"Jadi kalau ia beri dua kerusi di Terengganu, PAS akan dapat balik dua kerusi di negeri lain. Jadi akan ada timbal balik, begitu juga dengan parti lain," katanya.

Razali berkata, kaedah rundingan tersebut hanya di peringkat cadangan dan keputusan muktamad akan dibuat oleh pemimpian parti secara konsesus dan diterima semua pihak.

Perkara paling penting dalam pembahagian kerusi, katanya, ialah tidak berlaku pertembungan sesama sendiri dalam kalangan parti yang menyokong PN.

“Maknanya kalau Umno sudah letak calon, PAS tidak letak calon, Bersatu tidak akan letak calon, perbincangan ini bukan sahaja menjurus di peringkat negeri tetapi seluruh negara,” katanya.