Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dapat lanjutan 30 hari bagi fail rayuan keputusan kes SRC
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Najib Razak telah diberi tempoh 30 hari lagi untuk mengemukakan petisyen rayuan berhubung sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International yang membabitkan penyelewengan RM42 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Has Zanah Mehat membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Permohonan lanjutan masa selama 30 hari itu bermula dari 18 September hingga 18 Oktober.

Pada 22 September, Bernama melaporkan bahawa pasukan pembelaan Najib telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan lanjutan masa bagi membolehkan mereka memfailkan petisyen rayuan.

Menurut prosedur mahkamah, pembelaan mempunyai tempoh selama 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas menerima rekod rayuan. Tarikh akhir memfailkan petisyen rayuan dalam kes itu ialah Isnin depan (28 Sept).

Semasa prosiding Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, mereka memohon lanjutan waktu kerana pihak pembelaan perlu membaca dengan teliti banyak dokumen yang berkaitan dengan rayuan.

"Kami memohon (lanjutan waktu) ini kerana rekod rayuan adalah setebal 112 jilid sementara alasan penghakiman (keputusan Mahkamah Tinggi) adalah 801 halaman.

"Demi kepentingan keadilan, kami memerlukan masa yang memadai untuk menyiapkan petisyen (rayuan)," kata Farhan kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul kemudian memaklumkan hakim bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.

Has Zanah kemudian membenarkan permohonan itu.Dua hakim lain yang bersidang bersama adalah Lee Swee Seng dan Nordin Hassan.

Najib dikecualikan daripada menghadiri prosiding hari ini. Pengurusan kes rayuan seterusnya kemudian ditetapkan pada 2 Oktober.

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati bahawa Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang sebanyak RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, yang juga ahli parlimen Pekan, telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa dan penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah (tiga pertuduhan).

Beliau turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan melakukan pengubahan wang haram (tiga pertuduhan).

Mahkamah Tinggi mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak dan ini bermakna Najib berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau kini bebas selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS