Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno pun ada yang nak tanya PAS
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 1:32 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

PAS boleh mendapatkan penjelasan daripada Umno berhubung sokongan majoriti pemimpin parti itu untuk membentuk kerajaan baru bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, minggu depan.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana perikatan itu akan mengadakan mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup, minggu depan.

"Fokus PRN Sabah dahulu, minggu hadapan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup, pimpinan boleh dapatkan penjelasan atas semangat musyawarah,” katanya.

Asyraf juga berkata Umno juga memerlukan penjelasan PAS antaranya susulan tindakan politik parti itu.

"Sama-sama perlukan penjelasan termasuk kemasukan PAS sebagai komponen parti dalam Parti Perikatan Nasional," tulis Asyraf di Twitter, sebentar tadi.

Asyraf mengulas tuntutan PAS supaya Umno memberi “penjelasan sejelas-jelasnya” berhubung sokongan ramai pemimpin parti itu untuk membentuk kerajaan baru bersama Anwar.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata jika benar berlaku, bermakna Umno melanggar piagam Muafakat Nasional yang dipersetujui kedua-dua parti tahun lalu.

Takiyuddin Hassan 

Kelmarin Anwar mengumumkan dia memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula selepas itu berkata dia difahamkan ramai ahli parlimen parti itu dan BN menyokong Anwar.

Dia malah berkata menghormati pendirian itu dan tidak dapat menghalangnya.

Bagaimanapun seorang demi seorang ahli parlimen Umno sudah menafikan mereka menyertai kumpulan Anwar setakat ini.

Anwar belum mendedahkan jumlah sokongan diperolehnya kerana ia perlu dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Anwar Ibrahim

Lihat Komen
ADS