Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peralihan sokongan Umno pada PM tak bercanggah piagam MN'
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Peralihan sokongan Umno terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak bercanggah dengan piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara parti itu dengan PAS.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, berkata piagam MN tidak ada satu pun yang merujuk kepada kesetiaan atau sokongan kepada perdana menteri lebih-lebih lagi daripada Bersatu.

"Piagam MN telah ditandatangani pada 14 September 2019. Pada ketika itu Bersatu masih lagi berada dalam PH.

"Dan perdana menteri yang menerajui PH pada ketika itu adalah dari parti Bersatu.

"Oleh itu hakikatnya mengikut piagam ditandatangani, pihak yang ingin dikalahkan adalah bukan sahaja PKR, Amanah dan DAP seperti yang disebut, tetapi juga termasuk Bersatu dan juga perdana menterinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, PAS menggesa penjelasan daripada rakan MN mereka berhubung dakwaan yang mengatakan Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh majoriti parlimen termasuk daripada pemimpin Umno.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata jika perkembangan itu benar-benar berlaku, bermakna Umno tidak mematuhi persefahaman yang termaktub dalam piagam MN setahun lalu.

“Ia boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina di atas permuafakatan BN, Bersatu, PAS, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH (Pakatan Harapan).

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Umno atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak Umno untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai respons kepada kenyataan Takiyuddin, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu juga ingin bertanya tentang pendirian PAS yang turut menyertai PN.

Bagaimanapun kata Asyraf, tumpuan ketika ini harus diberikan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terlebih dulu.

Dalam pada itu Isham berkata, pendapat mengatakan bahawa peralihan sokongan terhadap perdana menteri oleh Umno sebagai tidak mematuhi persefahaman dan persefujuan yang termaktub dalam piagam MN pada 14 September 2019 adalah satu kesalahan fakta.

Tambah Isham yang juga bekas pegawai kepada Najib Razak ketika menjadi perdana menteri, Umno dan PAS perlu istiqamah dan kembali ke landasan asal muafakat.

"Saya harap semua pihak terus istiqamah dan kembali ke landasan asal semasa awal-awal pembentukan MN pada 14 September 2019 dahulu.

"Ini untuk mengelak dari kita dibuai dan terumbang ambing dengan permainan politik pihak-pihak yang berkepentingan dan berkesempatan.

"Saya yakin jika kita kembali ke landasan asal, kita akan berjaya mencapai matlamat yang termaktub dalam piagam MN yang ditandatangani tersebut," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS