Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
111 kes baru, jangkitan melonjak ke tiga angka
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 6:15 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia kembali melonjak ke tiga angka dengan 111 kes baru direkodkan setakat 12 tengah hari tadi, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes. 

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 858 kes," katanya pada satu kenyataan.

Daripada 111 kes baru itu, empat adalah kes import dan 107 kes penularan dalam negara.

Sabah terus mencatatkan kes baru tertinggi sebanyak 97 kes. Sebahagian besarnya daripada Kluster Bangau-Bangau dengan 74 kes.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster ini yang dikesan sebanyak 134 kes, daripada 180 orang yang diuji. Sembilan lagi masih menunggu hasil ujian.

Ini bermakna lebih tiga perempat daripada semua ujian dalam kluster ini telah diuji positif.

Kluster Benteng LD yang tular di Tawau dan Lahad Datu pula mencatatkan 13 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 743 kes positif.

Noor Hisham berkata, 10,634 orang daripada kluste ini telah diuji dan seramai 833 daripada mereka masih menunggu hasil ujian.

Dua daripada kes baru Benteng LD mula dikesan di daerah Kinabatangan, yang masih diklasifikasikan sebagai zon hijau setakat semalam tetapi sekarang akan dianggap sebagai zon kuning.

Satu lagi kluster yang diumumkan mencatat kes baru hari ini, Kluster Laut di Sabah dengan dua kes. Jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini yang mula dikesan di Kunak pada 12 Sept ialah 24 kes.

Selain tiga kluster yang disebut di atas, kluster lain yang di Sabah adalah Kluster Pulau (Kunak, 15 Sept), Kluster Selamat (Semporna, 17 Sept), Kluster Bakau (Semporna, 19 Sept), Kluster Kuarters (Tongod, 21 Sept) dan Kluster Udin (Tawau, 23 Sept ).

Sehingga 25 Sept, daripada lima zon merah di negara ini, empat adalah di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Satu lagi di Kota Setar, Kedah.

Di Semenanjung, terdapat beberapa kluster yang masih belum tamat.

Hari ini seperti semalam, cuma Kluster Sungai, yang dikesan pada 7 Sept lepas, mencatat kes baru. Ditambah tujuh kes baru hari ini, jumlah keseluruhan adalah 98 kes, iaitu 97 kes di Kedah dan satu kes di Perlis.



Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS