Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS nafi mungkin pertimbang semula sokongan pada Muhyiddin

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Alexander Nanta Linggi menafikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertimbangkan semula keputusan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin.

"Saya nafikan bahawa kami akan pertimbangkan semula sokongan kepada Muhyiddin.

"Kami berdiri teguh bersama beliau yang kini mengetuai kerajaan pusat," katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Demikian katanya ketika diminta mengulas dakwaan sumber partinya bahawa GPS mungkin akan mempertimbangkan semula keputusan terus bersama Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, satu sumber dekat dengan pucuk pimpinan GPS memberitahu Malaysiakini bahawa beberapa pemimpin gabungan itu mula menekan pucuk pimpinannya supaya mempertimbangkan semula sokongan kepada Muhyiddin.

Difahamkan, pucuk pimpinan parti itu mendapat desakan susulan desas-desus ramai ahli parlimen Umno mengambil keputusan untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang baru.

"Kami ramal GPS mungkin mempertimbangkan semula keputusan menyokong Muhyiddin. Sekurang-kurangnya mereka akan mengambil pendirian untuk menyokong government of the day," kata sumber itu kepada Malaysiakini sebelum ini.

Menurut sumber itu, ramai pemimpin GPS berfikiran tiada guna lagi menyokong Muhyiddin sekiranya sebilangan besar ahli parlimen Umno memihak kepada Anwar.

"Kita dengar buat masa ini, 20 ahli parlimen Umno menyokong Anwar. Jika dicampur dengan ahli parlimen Pakatan Harapan 91, jumlahnya sudah mencecah 111. Ini belum kira Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang ada dua kerusi.

"Ini pun sudah mencukupi untuk Anwar tubuh kerajaan dengan 113 kerusi jumlahnya. Kalau dicampur Warisan yang ada sembilan wakil rakyat sudah ada 122 kerusi.

"Maka, GPS akan rugi jika tidak menyertainya. Ini yang membingungkan ahli parlimen GPS dan membawa untuk mempertimbangkan semula sokongan kepada Muhyiddin," katanya.

Pada Rabu, Anwar yang juga ketua pembangkang mengumumkan dia mempunyai sokongan mencukupi di kalangan anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Anggota parlimen Port Dickson diperkenan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, tetapi majlis berkenaan ditangguhkan susulan kegeringan baginda.

Selepas sidang media Anwar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ramai ahli parlimen Umno dan BN kini menyokong Anwar.

"Sebenarnya, kenyataan Zahid Hamidi memberi satu petunjuk kuat kepada GPS bahawa perlu membuat keputusan semula.

"Kemungkinan, GPS akan buat kenyataan dalam masa beberapa hari atau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah," kata sumber itu lagi.

Untuk rekod, pengerusi GPS, Abang Abdul Rahman Johari menafikan gabungan itu menyokong Anwar.

Gabungan itu mempunyai 18 kerusi parlimen dan sehingga kini tidak menyertai PN secara rasmi.

Lihat Komen
ADS