Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Terengganu diarah kuarantin, semua program ditangguh
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 8:39 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar diarah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas berlaku kontak dapat dengan dua individu positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

"Adalah dimaklumkan bahawa semua program/aktiviti yang melibatkan YAB Ahmad Samsuri Mokhtar adalah adalah ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang diarahkan oleh pihak Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.

"Tindakan pantas telah diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengenal pasti, menghubungi dan menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

"Untuk makluman, menteri besar juga telah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif, dan perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti," kata Muhyidin.

Bagaimanapun kenyataan media itu tidak mendedahkan bagaimana kontak rapat menteri besar dengan individu positif Covid-19 berlaku.

Semalam, Setiausaha Agung BN Annuar Musa memaklumkan diarah menjalani kuarantin kerana kontak rapat dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii yang positif Covid-19.

Annuar merupakan kontak rapat kepada Razlan ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dia memaklumkan akan menjalani kuarantin selama 14 hari di kediaman di Kota Kinabalu.

Turut positif Covid-19 ialah Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

Sementara itu, Muhyidin memaklumkan yang Ahmad Samsuri tetap akan mempengerusi mesyuarat Exco kerajaan negeri 30 September ini.

"Walaupun begitu, menteri besar akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 September ini secara video atas talian," katanya.

Lihat Komen
ADS