Penumpang dua bas ekspres - iaitu untuk perjalanan dari KLIA2 ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 18 Sept dan dari TBS ke Kuantan, Pahang pada 19 Sept - digesa untuk menghubungi Jabatan Kesihatan Kuantan selepas seorang penumpang disahkan positif Covid-19.

Penumpang itu dilaporkan dari sabah, di mana lebih 100 jangkitan wabak itu dikesan semalam.

Bagi perjalanan KLIA2 - TBS, i melibatkan bas JetBus (nombor trip TBS 13) yang memulakan perjalanan pada pukul 11.30 malam, 18 Sept dan tiba di TBS sejam kemudian.

Bas TBS ke Kuantan pula dikendalikan Rhinoairiel Ekspres (nombor trip 292) yang memulakan perjalanan pada pukul dua pagi, 19 Sept dan tiba di pada pukul 7.30 pagi.

Gesaan itu dibuat di laman Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan semalam.

Mereka yang terlibat diminta menghubungi jabatan itu di talian 09-565 9213 atau 019-399 4832.

Kuantan merupakan kawasan yang merekodkan peningkatan jangkitan melibatkan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Malaysiakini difahamkan bahawa penumpang itu berada di Semporna, Sabah sejak 28 Ogos hingga 18 Sept atas urusan kerja dan menaiki bas awam dari Semporna ke Lapangan Terbang Tawau pada 18 Sept.

Dia menaiki pesawat AK 5747 Air asia dan tiba di KLIA2 pada pukul 10.15 malam.

Pada 19 Sept, individu itu ke Seremban, Negeri Sembilan untuk melawat anak perempuannya di Kolej Tunku Kurshiah dan ke pusat membeli-belah AEON di Nilai.

Dia juga menghantar dua lagi anak ke sekolah rendah dan sekolah menengah di Kuantan pada 21 hingga 23 September.

Dia menjalani ujian pada 23 September ketika membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ampaun Afzan yang mengalami batuk.

'Virus dalam komuniti'

Terdahulu, United Overseas Bank di Kepong, Kuala Lumpur mengesahkan seorang pekerjanya telah disahkan positif Covid-19 selepas beberapa hari berada di Semporna.

Semalam, sebanyak 74 kes dikesan dalam kluster Bangau-Bangau yang melibatkan penduduk Kampung Bangau-Bangau di Semporna.

Ia menjadikan kes dalam kluster itu kepada 134 daripada 180 penduduk yang menjalani saringan. sebanyak sembilan ujian masih menunggu keputusan.

Kluster itu dikenal pasti pada 22 Sept apabila seorang pesakit menjalani ujian saringan sebelum dimasukkan ke Hospital Semporna.

'Virus sudah pun ada dalam komuniti dan kampung," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.