Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
82 kes baru, 11 lepas pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah
Diterbitkan:  Sep 26, 2020 6:23 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 82 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan 79 daripadanya melibatkan penularan dalam negara.

Daripada jumlah itu, 53 kes melibatkan warganegara manakala baki 26 adalah warga asing.

Sabah kekal menjadi negeri dengan kes baru tertinggi dengan 64 kes, dengan 33 kes daripada kluster Benteng LD dan 25 lagi daripada kluster Bangau-Bangau.

Tiga lagi adalah kes saringan bergejala dan masing-masing satu kes melibatkan petugas kesihatan dari semenanjung di Pintu masuk Antarabangsa, kes Influenza-like Illness (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau dan saringan kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Bagi negeri lain pula, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan tiga kes manakala Selangor dan Terengganu dengan dua kes.

Terdapat satu kes dilaporkan di Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan.

Sejumlah 11 daripada kes-kes ini dikesan ketika membuat saringan selepas pulang dari "kawasan berisiko tinggi" di Sabah.

Dalam pada itu, sejumlah 89 pesakit pulih daripada wabak Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 9,785 kes.

Terdapat 851 kes yang masih menjalani rawatan dengan lapan daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Tiada kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Menurut KKM, setakat tengah hari ini kluster Benteng LD di Tawau, Kinabatangan, Sandakan dan Lahad Datu di Sabah telah mencatatkan 776 kes, dengan 337 daripadanya melibatkan warga asing dari Filipinan (214), Indonesia (122) dan Timor Leste (satu).

Di Tawau, seramai 8,195 orang telah disaring dengan 6,136 daripadanya didapati negatif dan 1,450 lagi masih menunggu keputusan.

Di Lahad Datu pula, seramai 2,574 orang telah disaring dengan 1,901 daripadanya didapati negatif dan 509 lagi masih menunggu keputusan.

Di Kinabatangan, seramai 5 individu disaring dengan dua daripadanya positif dan tiga lagi negatif, manakala Sandakan hanya mencatatkan satu kes positif dan tiada saringan dibuat.

Bagi kluster Bangau-Bangau di Semporna, setakat tengah hari ini sebanyak 159 kes positif telah dilaporkan, dengan 45 kes melibatkan warga Filipina.

Seramai 351 individu telah disaring dengan 37 daripadanya didapati negatif manakala 155 lagi masih menunggu keputusan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS