Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keindahan yang ada membuatkan Chiaki Kobayashi tidak pernah jemu menjejakkan kakinya ke negara ini. Sejak 2015, sudah lima kali warga Jepun itu bertandang ke Malaysia.

Tetapi, ada satu perkara yang sering membuatkan Kobayashi berasa marah setiap kali berada di Malaysia - sikap orang ramai yang gemar membuang sampah merata-rata.

Barangkali menyedari dia hanya perantau, Kobayashi tidaklah membentak atau mengherdik rakyat Malaysia setiap kali melalui jalan yang dikotori sampah-sarap busuk itu, sebaliknya mengambil inisiatif lain.

Dia menjadi pengutip sampah. Dan itulah yang dilakukannya sejak Feb lalu.

“Marah yang membuat saya mula mengutip sampah.

"Saya lihat orang buang sampah, puntung rokok dan cawan plastik (merata-rata) meskipun ada seorang ibu bersama bayi di jalan itu.

"Di sebatang jalan di Kuala Lumpur pula ada bau yang sangat busuk dan berhabuk.

“Dengan melihat keadaan jalan dan bayi itu, saya mula terfikir untuk kutip sampah.

"Bukan hanya meminta orang supaya berhenti membuang sampah tapi untuk memberitahu mereka akan akibat perbuatan tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Macam jiran kemas rumah

Jelas Kobayashi, 34, rakyat Malaysia wajar menanam sikap untuk tidak membuang sampah merata-rata kerana ia akan memberi akibat buruk kepada alam sekitar.

“Salah satu alasan saya buat aktiviti mengutip sampah ini adalah untuk mendidik orang ramai supaya tidak buang sampah sesuak hati," katanya.

Bagaimanapun, Kobayashi berkata, tidak mudah untuk melakukan aktiviti itu secara bersendirian. Justeru dia akhirnya dia meminta bantuan salah seorang kenalannya yang merupakan rakyat Malaysia.

Dia bersama Bryler Tipa Jawa itu kemudian melaksanakan projek KLean sejak dua bulan lalu untuk mengumpulkan lebih ramai orang - khususnya belia tempatan - agar bersama-sama melakukan kerja amal tersebut.

Bryler ketika dihubungi pula memberitahu pada awalnya, dia berasa malu kerana melihat pelancong asing bersungguh-sungguh untuk membersihkan sampah di negara ini.

“Saya tertanya-tanya, mengapa kita perlu orang luar kutipkan sampah untuk kita? Seolah-olah kita membiarkan jiran datang untuk kemaskan rumah kita. Tak logik,” kata anak kelahiran Sarawak itu.

Tambah Bryler, dia kemudian berjumpa dengan rakan-rakannya yang digelar "Brokeboys" untuk bersama dengan Kobayashi. Mereka kemudian memberikan mendapat respons yang baik.

“Saya dan rakan-rakan fikir ia akan menjadi aktiviti yang menarik dan kami pun bersetuju dengan Kobayashi untuk sama-sama mengutip sampah," katanya.

Bryler berkata mereka akan melakukan aktiviti tersebut pada Sabtu tertentu mulai jam 5 petang hingga 7 malam.

Jumlah aktivis yang akan hadir untuk melakukan aktiviti itu kadang-kadang mencecah lebih 10 orang dan mereka akan mengutip sampah di kawasan tumpuan ramai antaranya di pekarangan stesen LRT.

“Kami tengok kawasan... selalunya di kawasan awam seperti stesen LRT.

"Pada jam 5 petang, lepas agihkan sarung tangan dan beg plastik kami pula mula mengutip sampah sehingga 7 malam,” katanya.

Sejak melakukan kerja amal itu, Bryler berkata, belum ada lagi orang yang lalu-lalang ketika mereka mengutip sampah tampil menghulurkan bantuan, cuma mereka mengucapkan terima kasih.

Namun, bukan ucapan terima kasih yang Bryler mahukan.

“Kami bukan tak terima ucapan terima kasih tetapi harapnya orang belajar dan sedar akan tindakan buang sampah merata-rata ini tidak elok.

“Sebenarnya ia tak sepatutnya dijadikan satu kerja amal atau projek, tetapi tanggungjawab yang perlu ada dari setiap rakyat Malaysia untuk tidak buang sampah,” katanya.

Bryler menambah jika ada sesiapa yang tertarik untuk turut serta bersamanya melakukan kerja tersebut, mereka boleh ke akaun Instagram @brokeboysmy untuk maklumat lanjut.

 

Lihat Komen
ADS