Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GRS bertemu lagi pagi ini bincang calon ketua menteri

Gabungan Rakyat Sabah dijadual mengadakan pertemuan pagi ini bagi membincangkan calon ketua menteri negeri itu.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan berkata demikian ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Kota Kinabalu, yang dijadikan pangkalan bagi Perikatan Nasional (PN).

Ditanya adakah mesyuarat itu juga akan dihadiri oleh BN, Jeffrey berkata “Saya rasa semua orang (akan hadir).

Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut GRS akan membincangkan calon ketua menteri yang baru.

Dia juga berkata ketua menteri baru daripada GRS dijangka akan mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun, setakat 9.50 pagi, hanya Jeffrey, yang merupakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Tambunan dan Adun-adun baru parti itu dilihat berada di ruang menunggu bersebelahan bilik mesyuarat.

Tidak ada tanda-tanda Adun dari BN-Umno dan PBS akan menghadiri mesyuarat itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor dicalonkan sebagai ketua menteri sekiranya GRS memenangi pilihan raya negeri (PRN).

Sejurus selepas kemenangan tidak rasmi GRS diumumkan semalam, pemimpin PN mengadakan perbincangan selama lima jam, yang dikatakan berkenaan calon ketua menteri negeri bawah bayu itu.

Selain BN, pemimpin PBS juga dilihat tidak hadir di mana pemimpin berkumpul untuk menunggu keputusan rasmi.

Jelasnya, pemimpin PBS berada di rumah masing-masing malam semalam.

Jeffrey turut menafikan perselisihan berhubung calon ketua menteri menyebabkan keretakan dalam GPS.

Sementara itu, Setiausaha sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Abinan Asli, dipetik Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, berkata tiada istiadat angkat sumpah ketua jawatan menteri setakat 8.20 pagi.

Ini bertentangan dengan kenyataan Hajiji semalam yang berkata ketua menteri dari GRS akan mengangkat sumpah hari ini.

Lihat Komen
ADS