Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBS nafi sertai Warisan untuk tubuh kerajaan negeri baru
Diterbitkan:  Sep 27, 2020 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan dakwaan bahawa parti itu menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Dalam keputusan pilihan raya negeri (PRN) semalam, Warisan dan sekutunya memenangi 32 kerusi daripada 73 kerusi Dun, iaitu kurang lima kerusi untuk kembali berkuasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, PBS mengulangi pendiriannya untuk kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi dalam PRN semalam.

"PBS secara tegas menyangkal dakwaan bahawa ia menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan," kata ketua penerangannya Joniston Bankuai.

"Dakwaan ini tersebar luas di media sosial berikutan keputusan pilihan raya negeri semalam.

"PBS, sebagai rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah, tetap teguh dengan sekutunya - Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional," tambah Joniston, yang menewaskan bekas timbalan ketua menteri Madius Tangau di Kiulu.

GRS memenangi 38 kerusi dengan PN memperoleh 17 kerusi dan BN mendapat 14 kerusi.

PBS sendiri memenangi tujuh daripada 22 kerusi yang ditandinginya dalam PRN Sabah.

Walaupun berjanji untuk bersama PN, termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Bersatu, para pemimpin PBS tidak menghadiri acara yang menyaksikan para pemimpin GRS berkumpul sambil menunggu keputusan PRN semalam.

Ia menimgulkan persoalan mengenai hubungan dalam GRS, terutama apabila Bersatu dan BN bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan ketua menteri Sabah.

Lihat Komen
ADS