mk-logo
Berita
PN, BN, sekutu ada 41 kerusi, mahu angkat sumpah KM hari ini - Sumber

Mesyuarat para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu mendedahkan PN, BN dan sekutunya sekarang memiliki 41 kerusi DUN dan mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru hari ini.

Bagaimanapun, sumber parti memberitahu Malaysiakini setakat jam 2 petang hari ini, pemimpin gabungan itu belum dapat mengesahkan calon mereka.

Pemimpin Umno Sabah Bung Moktar Radin menyertai mesyuarat itu sedikit lewat dan diiringi setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan.

Umno juga diwakili oleh Naib Presidennya Ismail Sabri Yaakob, manakala pemimpin lain yang hadir termasuk Ketua Sabah Bersatu Hajiji Mohd Noor, Presiden Star Jeffrey Kitingan, wakil Bersatu Sabah Masidi Manjun dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Hajiji dan Bung antara nama yang disebut-sebut sebagai calon ketua menteri. Setelah calon diputuskan, para pemimpin GRS akan pergi ke istana Tuan Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin untuk upacara mengangkat sumpah.

Sementara itu, sumber juga memberitahu Malaysiakini sebagai tambahan kepada 38 kerusi yang dimenangi GRS semalam, tiga lagi calon bebas yang menang juga akan menyokong kerajaan baru.

Ini memberikan majoriti 41 berbanding 32 kerusi milik Warisan Plus yang diterajui Mohd Shafie Apdal.

Tiga Adun bebas itu ialah Rubin Balang (Kemabong), Ruddy Awah (Pitas) dan Masiung Banah (Kuamut).

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menang tujuh kerusi DUN tidak hadir mesyuarat tengah hari ini tetapi telah mengeluarkan kenyataan menafikan parti itu bekerjasama dengan gabungan Warisan Plus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Annuar Musa berkata di Twitter bahawa semua 41 Adun GRS plus bertemu untuk pertama kali pada hari ini.

Para pemimpin yang bermesyuarat berehat sebentar untuk makan tengah hari pada jam 1 tadi.

Pemimpin PN diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin keluar meninggalkan pemimpin BN di dalam bilik mesyuarat.

Hamzah dilaporkan kelihatan serius dan kumpulannya sedang menikmati hidangan makan tengahari di bilik bersebelahan bilik mesyuarat tadi.

Sekitar jam dua petang,  pemimpin Bersatu, Hajiji dan Masidi meninggalkan mesyuarat.

Hajiji berkata beliau enggan mengulas lanjut dan akan mengeluarkan kenyataan kemudian.

[Baca berita asal]

Lihat Komen