Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Sabah: Petanda baik jika parlimen bubar - Tuan Ibrahim

PAS melihat kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN Sabah yang berakhir semalam menunjukkan petanda baik kepada gabungan parti kerajaan persekutuan untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan semalam bukanlah jaminan untuk berasa selesa dengan situasi berkenaan.

"Saya nak kata selesa pun tidak juga, politik ada cabaran.

"Cuma indikator yang ditunjuk (PRN Sabah) itu agak baik bagi kami di semenanjung khususnya kalau kerajaan bersedia untuk bubar parlimen," katanya pada sidang media selepas majlis cabutan undi kerja-kerja Kementerian Alam Sekitar dan Air peringkat jajahan Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga menteri alam sekitar dan air berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai potensi dan kesan kepada gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) susulan keputusan PRN Sabah yang menyaksikan kekalahan gabungan Warisan Plus.

GRS iaitu parti gabungan PN, BN dan PBS memenangi PRN semalam selepas berjaya meraih 38 kerusi dari 73 kawasan iaitu majoriti lima kerusi.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya melihat ada satu isyarat yang jelas daripada rakyat apabila Warisan Plus tewas dan gabungan muafakat ini diterima.

"Rakyat menerima kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin antaranya dengan pakej ekonomi dalam membantu rakyat menghadapi kesan wabak Covid-19 diterima baik.

"Itulah isyarat yang dihantar, saya tengok rakyat perlu kepada satu bentuk permuafakatan, tidak ada satu parti yang dominan yang boleh buat keputusan sendiri dan bermakna semua parti-parti politik perlu duduk berbincang bagu merangka keputusan bersama.

"Dalam erti kata lain tidak ada 'abang besar' yang boleh buat kata putus melainkan semua duduk berbincang.

"Ini satu realiti politik yang sedang berlaku di negara kita dan perkara ini sentimennya sudah banyak berlaku di negara-negara lain, ini mungkin baik dalam konteks demokrasi," jelasnya.

Mengulas mengenai pemilihan ketua menteri Sabah, ahli parlimen Kubang Kerian itu berkata, PAS tidak terlibat dalam menentukan siapa yang bakal dilantik sekali gus menyerahkan perkara itu kepada parti-parti yang bertanding.

Lihat Komen
ADS