Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sokongan pada Anwar perlu atas keinginan jujur selamatkan negara'
Diterbitkan:  Sep 27, 2020 7:56 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Mana-mana anggota parlimen yang menyokong usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mengambil alih dan membentuk kerajaan baru mestilah ikhlas, kata Ketua Whip PKR Johari Abdul.

Menurut Johari, ketetapan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan anggota parlimen PKR hari ini berhubung kedudukan terkini kerajaan persekutuan berikutan pengumuman Anwar pada 23 September, lepas.

"Ahli-ahli parlimen PKR memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil untuk mengembalikan mandat rakyat pada 9 Mei 2018 dengan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan miskin dan kaya.

"Sebarang sokongan daripada mana-mana anggota Parlimen harus datang dari keinginan jujur mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19 yang memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, dinamik dan kuat.

"...Kami turut mengambil maklum bahawa dengan kenyataan bahawa ramai anggota Parlimen Umno-BN telah beralih sokongan dan kini menyokong Anwar, maka jelas Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti sebagai perdana menteri," kata Johari dalam satu kenyataan.

Johari yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa ramai anggota Parlimen Umno menyokong Anwar.

Ketika ini, Muhyiddin mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

Muhyiddin sebelum ini menegaskan yang dia masih lagi memegang jawatan perdana menteri selagi Anwar tidak membuktikan mempunyai majoriti cukup.

Anwar yang juga ketua pembangkang sedang menunggu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenaan untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan menerima menghadap daripada sesiapun selama seminggu kerana sedang menjalani pemerhatian di sebuah hospital.

Mengulas lanjut, Johari berkata, anggota parlimen PKR mendoakan Yang di-Pertuan Agong diberikan kesembuhan yang segera dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Johari juga menekankan bahawa apa sahaja kerajaan yang akan dibentuk oleh Anwar mereka akan bersungguh sungguh dalam memastikan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan integriti kerajaan yang baru terpelihara.

Lihat Komen
ADS