Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19, pengumuman bantuan oleh PN faktor Warisan Plus kalah - Penganalisis

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu berakhir dengan kegagalan Warisan Plus mempertahankan mandat yang diperoleh ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berpendapat peratusan keluar mengundi yang rendah memberi kelebihan kepada parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, pada peringkat awal, peluang bagi kedua-dua pihak seimbang namun momentum Warisan Plus merosot di saat akhir.

"Di banyak kawasan peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding PRU14, ini antaranya disebabkan ketakutan pengundi terhadap ancaman covid-19. Di kawasan tertentu kadar pengundi hanya mencecah 60 peratus

"Selain itu pengundi luar yang asasnya pengundi Warisan Plus yang asasnya penyokong parti seperti PKR dan DAP, ramai golongan ini tidak pulang mengundi.

"Ia kerana masalah ekonomi dan ancaman Covid-19. Selain itu tidak banyak parti politik yang boleh menaja mereka untuk balik mengundi," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, pengundi di Sabah cenderung memilih pihak yang memberi jaminan pembangunan dan bantuan kepada mereka dan isu ini sekali gus memberi kelebihan kepada GRS yang dinaungi gabungan parti-parti dalam kerajaan persekutuan.

Pengundi mahu jaminan pembangunan

Jelas Mazlan, pemilihan politik Sabah ini dilihat dalam konteks politik pembangunan setempat.

"Meninjau di sekitar Sabah, saya lihat hanya di kawasan pantai barat saja nampak infrastuktur yang baik dan sesetengah tempat di utara. Tetapi di kawasan pantai timur dan selatan Sabah masih jauh ketinggalan.

"Justeru pertimbangan pengundi kawasan pedalaman dan luar bandar adalah berpihak kepada parti-parti yang boleh memberi jaminan pembangunan. Sudah tentu mereka melihat PN atau BN yang boleh memberi jaminan kepada mereka," katanya yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana UTM.

Selain itu tambahnya, kekalahan Warisan Plus juga disebabkan penampilan bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal yang terlalu menonjolkan identitinya sebagai keturunan etnik Bajau.

"Shafie dalam kempen-kempennya terlalu ketara menonjolkan imej Bajau, di mana-mana dia datang kempen pun bercakap bahasa Bajau.

"Ini sedikit sebanyak mendatangkan rasa kurang senang etnik-etnik lain, di kawasan tengah dan utara dan lain-lain. Nampak pembawaan identiti Bajau dan ini antara faktor menyebabkan masyarakat etnik lain tidak memberi undi kepada Warisan itu sendiri.

"Selain itu, Upko yang sepatutnya memainkan peranan untuk mendapatkan undi pengundi daripada etnik Kadazan, Dusun dan Murut, nampaknya Upko gagal memainkan peranan mereka dengan baik.

"Fokus undi etnik-etnik tersebut lebih tertumpu kepada PBS (Parti Bersatu Sabah) dan Star (Parti Solidariti Tanah Airku). Kenapa mereka tidak menyokong Upko?

"Salah satunya disebabkan isu yang dimainkan oleh GRS yang membawa isu pendatang tanpa izin (Pati) khususnya dari Filipina adalah isu besar yang sangat menakutkan bumiputera buka Islam di Sabah. Isu ini dibawa oleh PBS dan Star dengan hujah golongan Pati tersebut akan mengancam kedudukan bumiputera Sabah," kata Mazlan.

Pengumuman bantuan oleh PN

Sementara itu pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan kekalahan Warisan Plus itu kerana sukar untuk menandingi bantuan-bantuan besar yang diumumkan oleh kerajaan PN di peringkat nasional seperti moratorium selama enam bulan dan bantuan kepada golongan terjejas dengan Covid-19.

"Mantera politik bahawa Putrajaya perlukan kerajaan negeri yang sehaluan untuk pastikan pembangunan lebih rancak juga menarik pengundi Sabah yang dahagakan pembangunan. Selain itu rakyat Sabah sanggup beri peluang kedua kepada BN kerana percaya mereka berada dalam kerajaan PN sudah berubah.

"Selain itu apabila Sarawak diberi hampir RM3 bilion hasil daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh kerajaan PN baru-baru ini, manakala kerajaan sebelum ini (PH) tidak mahu berikan hasil SST kepada Sarawak. Jadi rakyat Sabah sedar peluang untuk mereka dapat seperti diperolehi Sarawak hanya dengan menyokong Putrajaya," katanya.

Lihat Komen
ADS