Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAAC cadang bonus penjawat awam ikut merit, sektor perkhidmatan

Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) hari ini mencadangkan agar pemberian bonus kepada penjawat awam dilaksanakan mengikut merit dan sektor perkhidmatan.

Presiden MAAC Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata perkara itu berkemungkinan boleh dilakukan berdasarkan markah Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) yang diperoleh petugas serta prestasi petugas dalam mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan jabatan dan kerajaan.

“Penjawat awam telah mengalami cabaran yang sangat besar sejak tiga tahun lepas sehingga kini dengan berlakunya kegawatan ekonomi, perubahan tampuk pemerintahan kerajaan dan pandemik COVID-19. Pemberian bonus mengikut merit dan sektor perkhidmatan ini bertujuan bagi membantu penjawat awam yang berpendapatan rendah, sekali gus memastikan ia diagihkan secara adil.

“Ini adalah pengorbanan bukan sahaja untuk kerajaan dan negara tetapi khususnya untuk keselamatan dan kesejahteraan ekonomi serta masyarakat. Namun kini, apa yang kerajaan perlu lakukan ialah untuk mewujudkan persekitaran kehidupan rakyat yang mempunyai kuasa membeli, memiliki dan mampu sara hidup,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di Seremban, hari ini.

Mohd Idrus berkata penjawat awam telah terbukti berkhidmat dengan cemerlang ketika negara berhadapan pelbagai cabaran dan dengan pemberian bonus mengikut merit dilihat akan jadi pemangkin dan inspirasi kepada semua penjawat awam untuk terus memastikan kesejahteraan masyarakat dan negara menjadi keutamaan.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat dilapor sebagai berkata akan memohon kerajaan pusat memberikan bonus yang ditetapkan secara bulanan kepada penjawat awam dan bukannya sebagai bantuan khas kewangan seperti kelazimannya.

Adnan berkata isu berkenaan akan diketengahkan semasa pertemuan bersama Kementerian Kewangan pada 7 Okt nanti. 

-Bernama

Lihat Komen
ADS