Wanita dakwa isteri Samy Vellu mohon jadi pencelah sekali lagi
Seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri bekas presiden MIC, S Samy Vellu telah mengemukakan permohonan baru untuk menjadi pencelah dalam kes saman S Vell Paari supaya keadaan kesihatan mental Samy Vellu ditentukan oleh mahkamah.
Peguam RSN Rayer yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, berkata permohonan itu difailkan pada 22 Sept.
“Sebelum ini, permohonan Rosaline untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari ditolak oleh mahkamah. Oleh itu, dia memfailkan permohonan baru (untuk menjadi pencelah) dan mahkamah telah menetapkan 8 Okt untuk mendengar permohonan itu,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof di kamar mahkamah hari ini.
Turut hadir peguam Tina Ann Francis, yang mewakili Vell Paari.
Pada 11 Sept lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin menolak permohonan Rosaline untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari dengan kos RM5,000 selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.
Pada hari yang sama, hakim membenarkan permohonan Vell Paari supaya ayahnya menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Permohonan itu dibuat oleh Vell Paari dalam saman yang difailkan terhadap Samy Vellu bagi mengisytiharkan bahawa bapanya tidak mampu mengurus hal ehwal dirinya.
Vell Paari, 58, memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Dis lepas, memohon perintah mahkamah supaya satu siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental bapanya dan sama ada bekas Menteri Kerja Raya itu mampu menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Dia juga memohon perintah bahawa satu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan dapat dijalankan terhadap bapanya mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001, untuk mengetahui tempoh ayahnya menderita gangguan mental.
Dia juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berkeupayaan memberi arahan kepada peguam untuk bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) serta untuk menentukan jenis-jenis harta yang dimiliki bapanya.
Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya perunding pakar psikiatri neuro dan Ketua “Neurobehavioral Medicine Services” dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.
Jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya, dia memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.
Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta pembayaran gaji bagi ahli jawatankuasa itu.
Vell Paari juga memohon perintah supaya dia dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.
Plaintif berkata sejak 2017, dia telah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya dan telah menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.
-Bernama

