Malaysiakini
BERITA

Shafie akur gagal raih sokongan tapi takkan 'pikat' Adun lawan

Kow Gah Chie

Diterbitkan

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal belum .secara rasmi belum mengaku kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, namun kata sumber, dia tidak akan menggerakkan usaha mengajak Adun lawan berpaling tadah.

Kata sumber itu, kebanyakan Adun Warisan Plus sudah menerima hakikat bahawa mereka kini berada di barisan pembangkang.

"(Shafie dan Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin) telah berhubung.

"Dia (Shafie) tahu yang dia tidak akan mendapat nombor (sokongan majoriti).

"Shafie tahu mengenai perkara ini, dan dia tidak berniat untuk membeli (Adun) atau (mendapatkan sokongan dengan) cara lain, ini dapat saya sahkan," kata sumber yang juga Adun Warisan Plus itu kepada Malaysiakini.

Gabungan Warisan dan beberapa parti rakannya gagal mengekalkan kerajaan Sabah pada PRN Sabtu lalu apabila memenangi 32 kerusi daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula memperoleh 38 kerusi. Jumlah kerusi yang diperlukan untuk mendapat majoriti di DUN Sabah ialah 37.

Tiga wakil rakyat bebas yang menang dalam PRN itu kini menjadi penyokong GRS.

Tetap mainkan peranan berkesan

Terdapat spekulasi Mohd Shafie berusaha untuk menarik sokongan wakil rakyat di pihak lawan, manakala PBS mendakwa ada Adunnya "diganggu" oleh Warisan agar menyertai mereka.

Bagaimanapun, sumber Warisan Plus menafikannya.

"Ini tuduhan, (tetapi) ada tekanan daripada masyarakat sivil (agar PBS melompat), mereka mahu PBS (bersama Warisan Plus)," dakwanya.

Pada masa sama ada juga dakwaan wujud usaha untuk mengajak Adun Warisan Plus agar berpaling tadah, namun Mohd Shafie mendesak mereka untuk bertahan dan "terus berjuang".

Sumber itu berkata Mohd Shafie mungkin akan mengeluarkan kenyataan hari ini bagi mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor yang sudah rasmi dilantik sebagai ketua menteri.

Ditanya mengenai apa perancangan akan datang Warisan Plus, sumber itu berkata mereka akan terus bekerja sebagai pembangkang.

"Saya sendiri mengakui bahawa saya akan terus bekerja sebagai pembangkang, banyak wakil tahu bahawa (kita) sekarang akan melakukan kerja pembangkang.

"Ini jelas benar, tidak kira seseorang mengakui atau tidak," kata sumber itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, wakil rakyat Luyang yang mempertahankan kerusi berkenaan, Phoong Jin Zhe meminta maaf atas kekalahan Warisan Plus.

"Saya minta maaf sangat-sangat kerana kami belum dapat mempertahankan Sabah untuk anda semua.

"Saya akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan, lantang dan progresif," kata wakil DAP itu.

Walaupun kembali ke "zaman kegelapan", Phoong mengatakan Warisan Plus akan terus memberikan harapan kepada seluruh rakyat.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.