Malaysiakini
BERITA

Setiausaha Hadi titip nasihat buat 'kekanda Asyraf Wajdi'

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Sep 2020, 5:23 pagi

Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, hari ini memberi 'nasihat mesra' kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak mengungkit-ungkit isu pengorbanan parti.

Kata Syahir, jika mahu mengungkit, PAS lebih banyak boleh melakukan hal itu berbanding Pemuda Umno.

"Kekanda, ini bukan masa untuk mengungkit.

"Jika mahu diungkit, orang PAS lagi banyak boleh mengungkit: berkorban harta, jiwa, tenaga, dan maruah, namun segalanya tidak lagi berbangkit," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Syahir menambah ada banyak kewajipan yang perlu dilaksanakan sedangkan waktu yang tersedia adalah terhad.

Katanya lagi, dia juga bersetuju bahawa Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melakukan kesilapan semasa mengulas isu semasa politik negara,

Ekoran kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu, Wan Ahmad Fahysal mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak dibebani dengan isu legasi atau defisit kepercayaan berbanding parti lain kerana ia masih baru.

Kata timbalan menteri belia dan sukan itu lagi, kekuatan PN banyak terkumpul kepada pengerusinya, Muhyiddin Yassin yang disifatkannya tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama sehingga disayangi rakyat.

Ingatan agar tidak melampau

Walaupun tidak menyatakan secara jelas, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu secara tidak langsung memperlihatkan BN menghadapi isu keyakinan rakyat serta dibayangi skandal.

Untuk rekod beberapa pemimpin Umno sedang dibicarakan atas pelbagai dakwaan, manakala bekas presiden parti itu, Najib Razak, sudah disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Komen Wan Ahmad Fayhsal itu mendorong Asyraf Wajdi memberi komen balas.

Kata Asyraf Wajdi Umno sudah cukup banyak berkorban untuk Bersatu ketika parti serpihan berkenaan pada hakikatnya memiliki jumlah kerusi wakil rakyat yang sedikit.

Kata Asraf Wajdi, dalam keadaan begitu pun Umno membantu mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Hal yang sama berlaku di Perak dan Sabah apabila pemimpin Bersatu dipersetujui menjadi menteri besar atau ketua menteri walaupun bilangan Adun Umno lebih ramai.

Oleh itu Asyraf Wajdi mengingatkan Wan Ahmad Fahysal supaya jangan melampau kerana ahli Umno juga mempunyai maruahnya.

Untuk rekod, PAS memeterai persefahaman secara rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional dan kemudian menyertai PN yang dipimpin Bersatu. Umno pula menolak untuk menjadi anggota PN.

Kata Syahir, Asyraf Wajdi perlu berpandangan jauh ke hadapan dan pada masa sama merapatkan hubungan "demi masa depan negara".

"Ayuh pandang ke hadapan. Rapatkan saf, kukuhkan perpaduan. Buktikan keinsafan. Inilah jiwa besar PAS," katanya.


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.