Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak dapat menteri kesihatan, kerusi diwawancara
Diterbitkan:  Sep 29, 2020 2:58 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Kecewa dengan sikap Menteri Kesihatan Indonesia Terawan Agus Putranto dalam menangani pandemik Covid-19 di negara itu mencetuskan idea kepada pengacara terkenal rancangan bual bicara Mata Najwa, Najwa Shihab sekali gus membuat keputusan untuk mewawancara kerusi kosong.

Tindakan itu dilaporkan selepas produksi Mata Najwa kecewa dengan Terawan yang berkali-kali diundang untuk ditemu bual dalam rancangan itu tetapi tidak hadir.

Rancangan Mata Najwa edisi 'Menanti Terawan' yang berlangsung kelmarin itu diteruskan, malah dilaporkan meraih lebih tiga juta tontonan.

Pada sesi pembukaan temu bual itu, Najwa dengan nada sinis melontarkan pandangan betapa menteri kesihatan Indonesia itu seorang menteri yang rendah diri dan tidak menonjol di khalayak umum dalam menangani pandemik Covid-19.

"Mengapa menghilang pak, anda enggan sekali muncul di depan umum memberikan penjelasan selama pandemik. Rasanya menteri kesihatan yang paling low profile di seluruh dunia selama wabak ini hanya menteri kesihatan dari Indonesia.

"Atau kehadiran menteri kesihatan di depan umum anda rasa tidak terlalu penting?" soal Najwa ketika sesi wawancara kerusi tanpa tetamu itu.

Terdahulu, Indonesia dilaporkan menjadi antara negara tertinggi mencatatkan kes korban Covid-19 dengan 10,473 kes dan kini di tangga ke-17 korban dunia.

Dalam rancangan itu, Najwa turut menyorot bahawa Presiden Indonesia Joko Widodo beberapa kali menegur prestasi kerja Terawan di depan khalayak umum.

Malah dia dengan berterus-terang memberi cabaran supaya menteri itu melepaskan jawatannya seperti dilakukan oleh rakan-rakan sejawatan dari negera-negara lain.

"Pak Terawan, ada banyak menteri kesihatan yang meletak jawatan kerana penangan Covid-19, misalnya menteri kesihatan New Zealand, Poland, Brazil, Pakistan, dan Israel.

"Pertanyaan saya pak, apakah cara kita menangani lebih baik daripada negara-negara yang menteri kesihatanya berundur itu?

"Bukan hanya desakan melalui presiden, tetapi umum meminta kebesaran hati anda untuk berundur. Siap mundur pak?

"Atau bagaimana boleh menyakinkan rakyat anda masih layak menduduki posisi yang berat itu?" Soalnya sambil menegaskan bersedia untuk berdepan dengan menteri itu bila-bila masa sahaja.

 

Lihat Komen
ADS