UMK tangguh kemasukan pelajar dari Sabah, zon merah
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memutuskan untuk menangguhkan kemasukan secara bersemuka pelajar dari Sabah dan kawasan zon merah Covid-19 lain.
Turut ditangguhkan adalah kemasukan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari negeri itu dalam tempoh 14 hari sebelum pendaftaran.
Timbalan Naib Canselor UMK Prof Dr Mohd Rafi Yaakob berkata tindakan itu selari dengan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi dua hari lalu yang menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran pelajar baru serta kemasukan pelajar lama dari kawasan zon merah secara bersemuka, yang dijadual bermula Oktober ini.
Menurut Mohd Rafi, pihaknya menerusi edaran pekeliling akademik telah memaklumkan bahawa proses pendaftaran pelajar dari Sabah dan zon merah akan dilakukan secara dalam talian.
"Mereka perlu kembali ke UMK mengikut prosedur sedia ada setelah keadaan negeri Sabah dan zon merah kembali pulih.
"Bagi pelajar baru dan lama yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dan zon merah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pendaftaran juga ditangguhkan kemasukan ke UMK sepertimana saranan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain itu, dia berkata kemasukan pelajar bukan dari Sabah dan zon merah kekal mengikut jadual dan perlu mematuhi garis panduan pengurusan dn pelaksanaan operasi kemasukan seperti yang telah ditetapkan.
"Sehubungan itu semua ketua pusat dan mahasiswa UMK dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak Covid 19 di UMK dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan," katanya lagi.

