Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 101 kes baru, Sabah terus catat kes tertinggi
Diterbitkan:  Sep 29, 2020 6:15 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Kes baru Covid-19 di negara ini kekal tiga angka iaitu sebanyak 101 kes dengan Sabah masih menjadi negeri menyumbang kes positif tertinggi melibatkan 73 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah kes baru itu, 97 adalah penularan tempatan membabitkan 93 warganegara dan 4 kes bukan warganegara, serta empat kes import melibatkan seorang warganegara dan tiga bukan warganegara.

“KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat peningkatan kes Covid-19 di Malaysia sejak 7 September lalu.

“Peningkatan kes bagi negeri Sabah dan Kedah banyak menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada seramai 73 individu dikesan positif Covid-19 di Sabah, 51 adalah dari kluster Bangau-bangau; lapan saringan bergejala; tiga dalam kluster baru Jalan Bomba; dua daripada kluster Benteng LD; dua daripada kluster Kuarters; dua daripada kluster baru iaitu kluster Jalan Utara dan masing-masing satu kes saringan rujukan ke Hospital Sandakan; kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19; kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa; kes saringan petugas kesihatan dan saringan komuniti.

Dia juga memaklumkan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 11,135 kes, sementara kes aktif kebolehjangkitan ialah 1,062 kes manakala terdapat 50 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah 9,939 kes.

Kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah 13 dengan lima daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

“KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat empat kluster baru telah dikenalpasti pada hari ini iaitu di Sabah (dua kluster); masing-masing satu kluster di Selangor dan Johor,” katanya.

Dia juga berkata bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 134 kes atau 1.20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Lihat Komen
ADS