Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akui usaha kerajaan dalam membangunkan industri perikanan laut dalam tidak begitu berjaya.

Malah, Muhyiddin berkata kegagalan itu juga mengakibatkan negara mengalami kerugian dari segi kadar penghasilan makanan laut.

“Betul, sektor yang mempunyai potensi yang besar dalam negara kita adalah sektor perikanan. Baik perikanan di sungai-sungai, pantai-pantai mahu pun ke laut dalam.

“Kita menjadi anggota...sebagai contoh International Indian Ocean Tuna Council, tapi saya tak fikir banyak orang kita berani untuk menerima ke laut dalam untuk menangkap ikan tuna.

“Sebab itu, nelayan asing menceroboh wilayah kita dan mengambil ikan-ikan kita, dicuri untuk dibawa ke negara mereka.

“Kita rugi, tapi soal pokoknya kenapa tak majukan? Kita cuba. Tapi, sebenarnya tak berapa berjaya. Itu laut dalam, laut tak berapa dalam pun kita tak berjaya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Mohd Nizam Mahshar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin juga berkata kebanyakan nelayan di negara ini masih ketinggalan dalam aspek penerapan teknologi industri perikanan, berbanding negara jiran seperti Indonesia.

“Yang ada usahakan pun di negara ini, bukan orang kita, tetapi warga Vietnam dan Thailand, manakala orang kita hanya sebagai pemilik lesen saja.

“Itu perkara yang harus dikaji dan diteliti, mengapa potensi perikanan laut dalam ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Usaha bangunkan Sabah kini lebih mudah

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata usaha kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sabah kini lebih mudah selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan negeri Di Bawah Bayu itu.

Kata Muhyiddin, khususnya membabitkan apsek perancangan.

“Kita ada senarai panjang yang perlu dilakukan, langkah yang saya ambil.

“Walaupun WKB2030 belum dilancarkan, JPM, menteri dan timbalan menteri yang uruskan hal ehwal Sabah bukan saja penuhi tuntutan MA63, tapi ada perkara lain dan banyak yang sudah kita kenal pasti.

“WKB2030 tak pisahkan antara wilayah, sebaliknya satu daripada matlamat kita adalah nak dekatkan wilayah.

“Saya akui itu cabaran besar, pembangunan fizikal, ekonomi, sosial, tanggungjawab menteri dalam kabinet saya untuk lihat isu ini dan ia sudah kemukakan kertas jemaah menteri.

“Sebab itu saya rasa kita dah menang di Sabah, memudahkan lagi proses (pelaksanaan dan perancangan),” katanya.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin ini tidak bermakna Sabah dan Sarawak akan dipinggirkan sekiranya PN gagal menawan Sabah pada PRN Sabtu lalu.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh mengakui jurang pembangunan dan taraf sosioekonomi antara penduduk di Semenanjung serta Sabah sehingga kini masih jauh ketinggalan.

Namun, katanya komitmen untuk merintis kemajuan di Negeri di Bawah Bayu itu bukan sekadar di bahu Kerajaan Persekutuan, sebaliknya memerlukan komitmen pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri.

“Sukacita kita sudah menang di Sabah, jadi ia akan mudahkan untuk rancang dan duduk dengan kerajaan negeri.

“Saya kata begitu bukan hanya kerana ia sebelum ini dipimpin pembangkang, tetapi untuk tempoh akan datang, persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting,” katanya.