Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat kluster baru iaitu dua di Sabah dikenali kluster Jalan Bomba serta kluster Jalan Utara, satu di Selangor yang dikenali sebagai kluster Benteng PK, dan satu lagi di Johor dikenali sebagai kluster Bakawali.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks bagi kluster Jalan Bomba iaitu kes ke-11,110 merupakan lelaki warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 20 Sept lepas.

“Kes bergejala demam dan batuk serta didapati positif Covid-19 pada 28 Sept 2020. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan (Sabah) dan hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif Covid-19 pada 28 Sept lepas.

“Pengenalpastian kontak rapat dan saringan masih lagi diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19.

Berhubung Kluster Jalan Utara, beliau memberitahu kluster itu dikenal pasti hasil saringan petugas kesihatan di sebuah institut latihan di Sandakan, Sabah dengan dua petugas kesihatan telah dikesan positif Covid-19 pada 28 Sept.

“Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan. Pengenalpastian kontak rapat dan saringan masih lagi diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan serta punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Kluster Benteng PK pula dikenal pasti hasil saringan pendatang tanpa izin di Klang, Selangor dari 16 Sept hingga 25 Sept lepas dengan lapan orang dikesan positif Covid-19, kata Dr Noor Hisham.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati satu lagi kes positif bagi kluster ini pada 28 Sept yang melibatkan anggota polis. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga kini, seramai 148 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah sembilan kes positif Covid-19 dan 139 dikesan negatif,” katanya.

Sementara bagi Kluster Bakawali, dia berkata kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-10,911 dan kes ke-10,912 merupakan pasangan suami isteri yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 13 Sept hingga 18 Sept lepas.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua kes bergejala demam, selesema dan batuk pada 24 Sept 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, sebelum didapati positif Covid-19 pada 26 Sept lepas, serta dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga 29 Sept 2020, seramai 25 individu telah disaring dengan empat kes dikesan positif Covid-19, 13 individu negatif dan lapan individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang terlibat. Punca jangkitan masih dalam siasatan bagi kesemua kluster,” katanya.

Sementara itu, dia berkata terdapat peningkatan kes Covid-19 di Malaysia sejak 7 Sept lepas, dengan Sabah dan Kedah banyak menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes.

“Untuk makluman, jumlah kes positif Covid-19 harian masih tinggi kebelakangan ini. Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Diharapkan dengan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh pihak KKM, agensi-agensi lain dengan kerjasama masyarakat, dapat membendung penularan Covid-19 di Malaysia,” katanya.

-Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS